Urus penyasaran subsidi RON95 dengan lebih efisien


Urus penyasaran subsidi RON95 dengan lebih efisien
LANGKAH rasionalisasi subsidi bahan api RON95 dipertimbangkan bagi memastikan ia hanya disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak.
Oleh Surat Pembaca
12 November 2024, 9:00 am

BAHAN api RON95 merupakan antara subsidi utama yang diperkenalkan kerajaan bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat. Namun, kos subsidi ini semakin meningkat setiap tahun, sekali gus memberi tekanan kepada kewangan negara. Oleh itu, langkah rasionalisasi subsidi bahan api RON95 mula dipertimbangkan bagi memastikan ia hanya disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak.

Rasionalisasi ini boleh melibatkan beberapa pendekatan bagi mengurangkan ketirisan dan memastikan sumber kewangan negara digunakan dengan lebih efisien.

Satu cadangan utama yang boleh dipertimbangkan adalah penghapusan subsidi RON95 untuk semua pihak, dengan alternatif bantuan kewangan bulanan sebanyak RM200 yang akan dikreditkan kepada 85 peratus rakyat yang layak. Pendekatan memastikan hanya golongan sasaran yang menerima bantuan, mengelakkan subsidi daripada dinikmati oleh golongan kaya dan warga asing.

Pemberian tunai ini juga lebih fleksibel, kerana rakyat boleh menggunakan wang tersebut untuk memenuhi keperluan lain.

Selain itu, kerajaan boleh mempertimbangkan sistem kuota bahan api untuk golongan sasaran. Melalui pendekatan ini, rakyat yang layak boleh menikmati harga subsidi untuk sejumlah liter bahan api setiap bulan, manakala lebihan penggunaan akan dikenakan harga pasaran. Sistem ini bukan sahaja mampu mengurangkan ketirisan, malah menggalakkan penggunaan bahan api secara bijak dan mengurangkan pembaziran.

Sistem subsidi bersasar melalui kad khas juga boleh diperkenalkan. Rakyat yang layak akan diberikan kad subsidi yang boleh digunakan di stesen minyak. Dengan cara ini, hanya golongan yang benar-benar memerlukan akan menikmati subsidi, manakala golongan yang berpendapatan tinggi perlu membayar harga pasaran.


Kad ini juga boleh dihubungkan dengan data pendapatan rakyat sekali gus memudahkan proses pemantauan dan mengurangkan ketirisan.

Cadangan lain yang boleh diperhalusi adalah dengan mengurangkan kadar subsidi secara beransur-ansur, bagi mengelakkan kejutan ekonomi dan rakyat. Sebagai contoh, kerajaan boleh menurunkan kadar subsidi sebanyak 10 peratus setiap tahun bagi tempoh lima tahun, sehingga subsidi dihentikan sepenuhnya. Kaedah ini memberi ruang kepada rakyat untuk menyesuaikan diri secara berperingkat dan mengurangkan impak langsung ke atas kos sara hidup.

Selain itu, subsidi boleh disalurkan dalam bentuk potongan cukai bagi golongan B40 dan M40. Kaedah ini akan lebih bersasar dan memanfaatkan rakyat yang benar-benar memerlukan, di samping mengurangkan bebanan kewangan kepada golongan pertengahan yang juga terkesan oleh kos bahan api. Potongan cukai ini juga memberi kelebihan kepada kerajaan dalam meningkatkan hasil pendapatan melalui pengurangan subsidi langsung.

Penggunaan teknologi dalam pemantauan subsidi juga boleh diperluaskan melalui aplikasi mudah alih. Dengan teknologi, kerajaan dapat mengawal aliran subsidi dengan lebih telus dan mengurangkan risiko penyelewengan serta ketirisan subsidi.

Penggalakkan penggunaan kenderaan awam juga merupakan langkah sokongan yang wajar dipertimbangkan bersama rasionalisasi subsidi. Dengan meningkatkan kualiti dan kekerapan pengangkutan awam, rakyat dapat menikmati alternatif kepada penggunaan kenderaan peribadi. Langkah ini bukan sahaja mampu mengurangkan kebergantungan kepada bahan api, malah dapat membantu mengurangkan kesesakan trafik dan pencemaran udara.

Kempen kesedaran yang berterusan akan memberi pemahaman yang lebih baik kepada rakyat tentang pentingnya subsidi bersasar dan mengurangkan pembaziran bahan api dalam kehidupan seharian.

Pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 perlu dilakukan dengan berhati-hati dan melibatkan pandangan rakyat serta pakar ekonomi. Rundingan yang menyeluruh dan penilaian impak sosial harus diutamakan bagi memastikan langkah ini dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat.

Dengan pendekatan yang bersesuaian, subsidi RON95 dapat dirasionalisasi tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi negara. – UTUSAN

AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan

Ulasan