50 tahun BN: Berubahlah, bukan sekadar berkata manis



50 tahun BN: Berubahlah, bukan sekadar berkata manis
BARISAN Nasional (BN) mampu mengukuhkan kedudukannya sebagai gabungan politik yang relevan dan dinamik untuk 50 tahun akan datang dengan adanya doktrin baharu, kepimpinan inklusif dan strategi digital. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Oleh BUDIMAN MOHD ZOHDI
13 Disember 2024, 8:00 am

SABTU lalu (7 Disember 2024) Barisan Nasional (BN) mengadakan perhimpunan menyambut ulang tahun ke-50 penubuhannya.

Suatu masa dahulu BN adalah ikatan politik terbesar negara yang menerajui pembangunan dan pemodenan lebih empat dekad.

Ditubuhkan pada 1 Jun 1974 bagi menggantikan ikatan politik sebelumnya Perikatan, BN adalah idea Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein bagi membentuk roh politik baharu dalam usaha menyembuhkan luka dan memadam nista berikutan catatan gelap sejarah negara dihambat api perkauman 13 Mei 1969.

Setelah menjadi jagoan pembangunan dan pemodenan selama empat dekad, BN akhirnya tumbang dalam tsunami politik 2018 yang di ‘orkestra’ bekas Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pada zaman kegemilangannya, BN pernah mempunyai 14 parti komponen dan beberapa kali memenangi pilihan raya umum (PRU) dengan majoriti dua pertiga.

Lumrah dunia, keagungan sesuatu yang baharu tidak akan kekal lama. Dua pilihan raya terakhir jelas BN mengalami zaman kemerosotannya. Jumlah kerusi berkurangan, jumlah parti komponen juga berkurangan.

Pun begitu sebagai sebuah parti yang lama berakar umbi dalam kehidupan rakyat, ia tidak begitu mudah tenggelam dan hilang pedoman. Sedikit demi sedikit parti ini menyusun langkah memulihkan semula keyakinan diri dan rakyat.

MUHASABAH DIRI
Muhasabah diri adalah jalan terbaik untuk BN kembali diyakini rakyat. Memetik amanat Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang membentangkan satu agenda besar iaitu, “politik ini dinamikanya berubah, rakyat berubah, cita rasa dan aspirasi mereka turut berubah. Maka, kita juga mesti berubah”.

Ucapan ini melambangkan kesedaran Ahmad Zahid mengenai realiti politik semasa dan iltizam untuk menjadikan BN kembali disokong oleh rakyat.

Antara jalan pemulihan yang dilontarkan beliau ialah pentingnya perpaduan dalam kalangan parti komponen BN dan juga kerjasama melalui Kerajaan Perpaduan.

Keputusan bersama Kerajaan Perpaduan dianggap sebagai peluang bagi BN membuktikan kematangan dalam berpolitik dan juga mencari tapak untuk kembali pulih.

Ahmad Zahid yang juga merupakan Presiden UMNO mengingatkan semua aktivis parti bahawa BN tidak boleh terlalu eksklusif kepada pengundi tradisional sehingga mengabaikan golongan muda, wanita dan masyarakat pelbagai kaum. Contohnya, melalui sokongan kepada ibu muda, peluang keusahawanan dan platform untuk belia.

“Kita perlu meluaskan jaringan dan menarik sokongan di luar kerangka kebiasaan. Kita tidak boleh terlalu selesa bergantung kepada sokongan kumpulan tradisional dan pengundi tegar, yang tidak lagi mencukupi untuk memastikan kemenangan kita.”

Ini adalah ingatan kepada pemimpin BN agar membawa wajah parti yang lebih segar dan elegan kepada pengundi baharu.

Dalam keadaan BN mahu menangani wacana pengundi baharu, ideologi asal parti akan tetap utuh dipelihara kerana itulah amanat dan amanah negarawan terdahulu kepada kita.

Seperti kata Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, BN perlu terus mengekalkan konsep kesederhanaan politik, menabur khidmat bakti kepada masyarakat tidak kira latar belakang tanpa mengira BN itu sendiri membawa mesej perpaduan, kestabilan dan kemakmuran.

MELURUSKAN YANG SERONG
Ingatan Zambry ini harus diberi perhatian, dijadikan teladan selain sempadan oleh semua pemimpin bahawa kesederhanaan serta kestabilan amat penting dalam idealisme politik. Ia seharusnya diterjemahkan dengan sikap dan mentaliti kepimpinan.

Mengungkap kata-kata keras dalam perhimpunan terbuka seperti yang dilakukan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan mungkin menjadikan mereka wira sementara.

Namun dalam jangka masa panjang ucapan tersebut akan dijadikan bahan pihak lawan menggugat perpaduan dalam BN dan juga dalam kerajaan madani.

Kebimbangan mengenai kedudukan kerusi pilihan raya dan peranan dalam kerajaan madani harus diuruskan secara dalaman. BN mempunyai wakil yang agak besar dalam Kabinet termasuk pengerusinya sebagai timbalan perdana menteri.

Kritikan ini, walaupun berasas, seharusnya dibawa ke meja perbincangan dalaman dan bukan melalui platform terbuka seperti sambutan ulang tahun. Ini selaras dengan mesej Ahmad Zahid yang menekankan perpaduan dan menyelesaikan perbezaan secara kekeluargaan.

UMNO sendiri tidak boleh terlalu menjadi ‘abang besar’ sehingga gagal mendengar pandangan rakan-rakan parti komponen termasuk Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). Kita harus kekal menjadi keluarga besar BN yang utuh dan kukuh.

CABARAN MASA DEPAN
Ketika di usia 50 tahun, BN perlu ada rangka strategi masa depan yang lebih meyakinkan termasuklah seperti mana saranan Ahmad Zahid yang mencadangkan penjenamaan semula melalui ‘jenama kemanusiaan’.

Penjenamaan BN memang sukar kerana penghakisan kepercayaan terhadap gabungan parti itu yang sejak 1998 dan berlarutan selama dua dekad sebelum ditumbangkan.

Melakukan penjenamaan semula sudah sukar, ia memerlukan strategi atau usaha untuk menjadikan BN dan pemimpinnya terutama di peringkat bawahan dan pertengahan mempunyai nilai empati, tahu meletak diri dalam sesuatu identifikasi masyarakat atau kaum yang pelbagai, berkebolehan membina hubungan yang lebih mendalam serta autentik dengan rakyat.

SEKOLAH POLITIK
Untuk menjenamakan parti melalui jenama kemanusiaan merupakan usaha yang berlapis dan berselirat kerana rakyat mempunyai pelbagai keperluan, tahap pemikiran mahupun kepercayaan yang pelbagai.

Justeru latihan atau kursus kepimpinan sekali sekala dengan manual tertentu tidak akan membantu mewujudkan pemimpin dalam jenama yang diidamkan pengerusi BN.

Sebaliknya memerlukan sebuah sekolah politik bertujuan melatih dan mengasuh pemimpin muda secara berterusan agar boleh memahami seni komunikasi manusia, menilai situasi masyarakat yang pelbagai selain berupaya menjaga hati serta perasaan khalayak.

BN dan UMNO tidak lagi boleh bersikap seperti sebelum ini dengan menganggap khalayak akan menerima apa sahaja yang diucapkan, meredakan apa sahaja kata-kata yang mengguris perasaan atau melupakan sikap tidak sensitif pemimpin.

Zaman pemimpin dijulang membuta tuli semasa berkuasa sudah lama berakhir. Dan pemimpin BN harus sedar hal itu.

Oleh itu, ulang tahun ke-50 BN adalah peringatan bahawa kejayaan lampau tidak menjamin kelangsungan masa depan. BN perlu berani berubah, mengutamakan perpaduan dan mengadaptasi norma politik baharu. Seperti yang ditegaskan Ahmad Zahid, BN bukan lagi parti nostalgia, tetapi mesti menjadi parti masa depan.

Dengan doktrin baharu, kepimpinan inklusif dan strategi digital, BN boleh mengukuhkan kedudukannya sebagai gabungan politik yang relevan dan dinamik untuk 50 tahun akan datang.-UTUSAN

Itu pun jika semua pemegang taruh bersedia berubah pada tindakan bukan sekadar kata-kata manis di pinggir bibir.

DATUK Dr. Budiman Mohd. Zohdi ialah Penasihat SLR Institute, Pusat Kajian Propaganda dan Penjenamaan Politik.

Ulasan