Anak pengutip sampah raih dua anugerah cemerlang AIU
Pro-Canselor AIU. Sonny Bill Williams (tengah) bersama Fazlina Muhammed Amin Yeap dan Nyi Nyi Nay Naing yang menerima anugerah masing-masing pada Majlis Konvokesyen Keempat AIU di Alor Setar, semalam. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Oleh JAMLIAH ABDULLAH
13 Disember 2024, 8:00 am
ALOR SETAR: Seorang gadis membuktikan bahawa kemiskinan keluarga tidak pernah menjadi halangan kepadanya untuk bergelar penuntut cemerlang dalam pengajiannya di Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) di sini.
Malah bagi Fazlina Muhammad Amin Yeap, 25, dari Kota Bharu, Kelantan, ia menjadi inspirasi untuk berusaha keras sehingga mampu menerima Anugerah Sharifah Rokiah dan Anugerah Naib Canselor pada Majlis Konvokesyen Keempat AIU.
Fazlina yang merupakan anak kepada pengutip sampah itu memberitahu, membesar dalam keluarga yang serba kekurangan membuatkan dia berusaha keras untuk mengubah nasib bagi membalas jasa ibu bapanya.
“Saya tidak malu untuk mengaku sebagai anak kepada pengutip sampah kerana itu yang memberi kekuatan kepada saya untuk berusaha keras dan belajar bersungguh-sungguh.
“Sewaktu sekolah rakan-rakan lain keluar bermain tetapi saya pula bantu ayah kutip sampah. Ayah selalu berkata, walau apapun kita tidak boleh lupa siapa kita. Saya ingin balas pengorbanan mereka dan bersyukur kerana AIU memberi saya peluang ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen AIU.
Sebanyak 229 graduan menerima ijazah masing-masing dalam konvokesyen tersebut terdiri sembilan jurusan dari Pusat Pengajian Perniagaan, Sains Sosial, Pendidikan dan Sains Manusia dan Pengkomputeran dan Informatik.
Bercakap tentang resipi kejayaannya, Fazlina berkata, untuk cemerlang dia bukan sahaja perlu menjadi terbaik dalam bidang akademik tetapi kokurikulum di luar kampus.
“Saya terlibat dalam beberapa kertas penyelidikan dan Persidangan Pemasaran 2024. Saya juga terpilih sebagai penceramah untuk pembentangan di Hari Bisnes Sosial di Filipina.
“Dahulu sebelum ke AIU saya seorang yang tidak fasih berbahasa Inggeris pun tetapi saya berusaha untuk memahirkan diri. Alhamdulillah. Saya berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana pula selepas ini,” kata graduan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan ini.
Sementara itu penuntut dari Myanmar, Nyi Nyi Nay Naing, 23, mencatat rekod apabila bergelar penerima sulung Anugerah Canselor pada majlis konvokesyen tersebut.
Berasal dari sebuah kampung terpencil di Rakhine, Naing yang juga dikenali sebagai Ali memperoleh anugerah itu di atas kecemerlangannya dalam akademik, kepimpinan dan khidmat masyarakat sepanjang pengajian dalam bidang Sains Komputer.
Menurutnya, dia bersyukur kerana pengorbanannya berjauhan dengan keluarga sejak tujuh tahun lepas berbaloi apabila mendapat pengiktirafan tersebut.
“Saya meninggalkan kampung untuk ke Yangon pada 2018 dan tidak kembali selepas itu semata-mata kerana ingin menuntut ilmu. Kampung saya terperangkap di tengah-tengah pergolakan yang berlaku di Myanmar dan sukar untuk saya meneruskan pendidikan di situ.
“Alhamdulillah saya menerima biasiswa dari Yayasan Albukhary untuk belajar di AIU. Saya ingin memastikan pengorbanan itu berbayar dan berusaha keras sehingga satu hari nanti saya dapat pulang bertemu keluarga,” katanya yang konsisten meraih tempat dalam senarai dekan sepanjang pengajian. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan