Apa nasib pelarian Syria di Eropah?


Apa nasib pelarian Syria di Eropah?
Oleh SUSUNAN HASIF IDRIS
13 Disember 2024, 8:05 am

ATHENS: Beribu-ribu rakyat Syria yang berpindah ke negara jiran Türkiye dan Lubnan, mula kembali ke Syria minggu ini.

Kereta yang dinaiki dipenuhi dengan penumpang, bagasi serta harapan untuk pulang dengan aman.

Bagaimanapun, seramai 10 pelarian Syria yang bercakap dengan Reuters di Eropah dan United Kingdom (UK) berbeza pendapat.

Kembali ke Syria seolah-olah menamatkan kehidupan baharu mereka serta mempertaruhkan segala-galanya yang mereka sudah bina selama ini.

Najem al-Moussa gembira apabila berita penggulingan Presiden Syria, Bashar al-Assad mula tersiar dalam televisyen di apartmen kecilnya di Athens.

Namun, di sudut hatinya, wanita ini mula terfikir bagaimana dia dan ahli keluarganya terpaksa pulang ke negara yang musnah selepas mereka melarikan diri sejak sembilan tahun lalu.

Ramai pelarian Syria mula bimbang ketika negara-negara Eropah mula memikirkan semula dasar suaka yang diberikan terhadap rakyat Syria.

“Saya sudah anggap kehidupan saya di sini, termasuk anak-anak.

“Kehidupan yang disediakan di Greece jauh berbeza dengan negara saya (Syria),” luahnya.

Najem dan isterinya, Bushra al-Bukaai melarikan diri dari Damsyik sejak 2015, selepas kelahiran anak kedua mereka.

Selama dua tahun pasangan ini menjadi pelarian dan pernah singgah ke Sudan, Iran, Türkiye dan akhirnya di Greece.

Mereka sekeluarga hidup bahagia bersama lima anak yang semuanya bersekolah dan fasih berbahasa Greek.

Katanya, tiada seorang anak mereka yang boleh bercakap dalam Bahasa Arab, bahasa dia dan isterinya membesar di tanah arab.

“Saya tidak dapat membayangkan anak-anak saya membina masa depan di Syria. Tidak sama sekali,” katanya.

PERMOHONAN SUAKA MENINGKAT

Permohonan suaka kali pertama oleh rakyat Syria ke Kesatuan Eropah (EU) adalah tertinggi direkodkan pada 2015 dan 2016, yang melebihi 330,000 orang.

Permohonan meningkat tiga kali ganda antara 2020 hingga 2023, selepas gempa bumi dahsyat serta konflik keganasan dan ekonomi yang berterusan.

Ribuan permohonan kini ditangguhkan selepas beberapa negara Eropah termasuk Greece, minggu ini, menggantung permohonan suaka daripada rakyat Syria.

Negara itu juga mempertimbangkan jika Syria lebih selamat selepas ketiadaan Bashar.

NASIB PELARIAN LAIN

Doktor haiwan, Hassan Alzagher yang berasal dari Syria gusar apabila permohonan suakanya di Jerman yang sepatutnya dimuktamadkan akhir tahun ini, ditangguhkan.

“Perkara ini sangat mengganggu mental saya.

“Ini kerana, sukar selepas anda sudah membayangkan akan tinggal dan membina kehidupan baharu di sini, serta mempelajari bahasa dan berintegrasi di negara ini, akhirnya anda perlu pulang ke tanah air dengan kemudahan asas yang perlu dibina semula,” katanya.

Alzagher, 32, merupakan rakyat Syria yang mendapat suaka di Jerman.

Dia melarikan diri dari bandar Raqqa pada 2018 kerana takut direkrut menjadi anggota tentera.

Lelaki ini menghabiskan masa di Lubnan, Iraq dan Turki sebelum menuju ke Jerman pada 2023.

Pelarian Syria, Zafer Nahhas sempat memohon program Ijazah Doktor Falsafah (PhD) hanya dua hari sebelum kejatuhan rejim Bashar.

Nahhas, 34, dari Aleppo berkata, dia adalah individu yang dikehendaki di Syria selepas menyertai protes anti kerajaan.

Datuknya dipenjarakan selama 13 tahun dan ramai rakannya ditahan dan diseksa.

Dia diberikan suaka di UK, namun kini gelisah kerana isterinya sedang mengandung. -REUTERS

Ulasan