Askar lemas:Tujuh tim SAR diatur gerak
Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
4 Disember 2024, 8:05 am
PETALING JAYA: Sebanyak tujuh tim mencari dan menyelamat (SAR) diatur gerak Tentera Darat Malaysia (TDM) bagi mengesan seorang anggotanya yang masih hilang ketika melaksanakan rondaan berhampiran Sungai Merah di Permatang, sempadan Malaysia-Thailand.
Tujuh tim tersebut terdiri lima pegawai dan 112 anggota digerakkan mencari dan menyelamat Lans Koperal Ahmad Zulhilmi, melibatkan pasukan 2 Rejimen Renjer Diraja (RRD), 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) serta Rejimen 22 Komando, bermula dari tempat kejadian di Sungai Merah menyusuri sepanjang Sungai Perak.
TDM dalam satu kenyataan berkata, Ahmad Zulhilmi dari Rejimen 22 Komando, Kem Iskandar, Mersing merupakan seorang daripada yang lemas ketika melaksanakan penugasan rondaan dalam operasi di Banding, Perak, Sabtu lalu.
Katanya, seorang lagi anggota, Lans Koperal Mohd Afandi Jahwin dari Rejimen 21 Komando, Kem Sungai Udang, Melaka, ditemui meninggal dunia pukul 6 petang pada keesokan harinya di tepi sungai, kira-kira tiga kilometer (km) dari kedudukan Markas Trup.
“Sehingga kini operasi masih diteruskan bagi mengesan anggota terbabit,” katanya, hari ini.
Katanya, ketika hari kejadian kedua-dua anggota bersama tujuh lagi yang lain dibawa arus dalam kejadian kepala air ketika melaksanakan rondaan dalam Operasi Kota, Echo, Foxtrot, Siri 6 2024, sebelum tujuh lagi ditemukan selamat sekitar pukul 12.30 tengah hari pada hari kejadian.
“Operasi Kota, Echo, Foxtrot adalah operasi pengawasan, pemantauan keselamatan sempadan untuk memastikan ketenteraman awam, mencegah ancaman keselamatan dan membendung aktiviti jenayah rentas sempadan di kawasan Malaysia-Thailand,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan seluruh warga TDM, turut berduka di atas kehilangan warganya dan menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Mohd Afandi.
“Panglima Tentera Darat juga berharap seluruh rakyat Malaysia dapat mendoakan anggota yang masih hilang iaitu Lans Koperal Ahmad Zulhilmi, akan segera ditemui dalam keadaan selamat,” jelas kenyataan itu.- UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan