Banjir: Kerugian gelombang pertama di Kelantan cecah RM30 juta
December 12, 2024
KOTA BHARU: Gelombang pertama banjir di Kelantan tahun ini mengakibatkan kerugian sebanyak RM30 juta yang melibatkan kerosakan jalan raya, kediaman, bangunan sekolah, dan harta benda.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, bagaimanapun jumlah terperinci kerugian tersebut masih dalam proses penilaian oleh pihak berkuasa.
Katanya, daerah Tumpat merupakan kawasan kedua yang paling teruk dilanda banjir selepas Pasir Mas dan Rantau Panjang.
“Akibat banjir luar biasa ini dianggarkan tujuh buah sekolah di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) mengalami kerosakan.
“Salah satu sekolah, Sekolah Menengah Ugama (Arab) Kajang Sebidang, mengalami kerosakan serius apabila bangunan satu tingkatnya ditenggelami air,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penerimaan dan pengagihan bantuan banjir daripada FGV Holdings Berhad (FGV) yang diadakan di Dewan Bunga Raya Pantai Sri Tujoh Resort, dekat sini hari ini. (Foto atas)
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim, Ketua Bahagian Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kumpulan merangkap Ketua Misi Bantuan Banjir Kumpulan FGV, Shaharizan Yunus dan lain-lain jemputan.
Sementara itu, Wan Roslan memaklumkan bagi pelajar SPM di negeri ini, daripada jumlah keseluruhan 27,031 calon, seramai 5,163 calon adalah dari sekolah YIK.
“Daripada jumlah itu pula, 3,056 calon YIK dilaporkan terkesan akibat banjir, manakala 207 pelajar terpaksa berpindah ke pusat pemindahan khas yang diselaraskan oleh YIK dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
“Meskipun situasi mencabar, laporan terkini menunjukkan semua calon YIK berjaya hadir menduduki peperiksaan SPM setelah pusat peperiksaan mereka dipindahkan ke sekolah-sekolah berhampiran yang lebih selamat,” katanya lagi.
Beliau memberitahu, untuk pusat peperiksaan, semuanya sudah diselesaikan dengan sebaik mungkin di mana pelajar yang terkesan banjir didaftarkan tempat peperiksaan yang berhampiran.
“Saya begitu bersyukur kerana menerima laporan semua calon YIK berjaya hadir ke pusat peperiksaan walaupun ramai terkesan akibat banjir,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 12/12/2024
Ulasan
Catat Ulasan