Derita Syria belum berakhir?
10 Disember 2024 07:40am
Masa membaca: 4 minit
SHAH ALAM - Masa depan Syria dilihat masih tidak menentu dan dijangka melalui zaman yang lebih sukar susulan kejatuhan Presiden Bashar al-Assad serta pembebasan semua tahanan.
Pakar Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Profesor Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam melihat situasi yang berlaku kini adalah permainan daripada Israel dan Amerika Syarikat (AS).
Menurutnya, selain memudahkan rejim itu untuk menubuhkan The Greater Israel yang sebahagiannya termasuk dalam wilayah Syria, negara itu dijangka berdepan kekacauan kerana perebutan kuasa.
“Kita dapat lihat dalam masa yang sangat cepat, bukan sahaja pemberontak menguasai Syria tapi Israel juga masuk sekali ke Syria melalui sempadan di Bukit Golan. Ini jelas menunjukkan bahawa sebenarnya ia bukan berlaku secara tidak sengaja tapi telah dirancang.
“Saya menjangkakan selepas ini yang pastinya Israel akan menguasai sebahagian daripada Syria terutamanya di kawasan yang memang dia nak kuasai dekat sempadan Bukit Golan.
“Mungkin selepas ini kekacauan yang lebih teruk berlaku di Syria kerana perebutan kuasa. Ada beberapa kumpulan yang sentiasa disebut-sebut iaitu Hayat Tahrir al-Sham (HTS) tapi dalam masa sama ada juga seperti Ahrar al-Sham, Barisan Pembebasan Islam Syria, Islamic Front,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Mohd Mizan, kumpulan-kumpulan itu akan bertelagah sesama sendiri untuk menguasai tampuk kepimpinan Syria yang akan membawa kepada perebutan kuasa, pergaduhan dan perang saudara jika tidak ditangani dengan baik.
Buat masa ini, AS mempunyai pasukan di timur laut dan timur, Pasukan Demokratik Syria (barat), HTS dan pakatan (barat laut), Israel (Bukit Golan-barat daya Damsyik), Turkiye (sebahagian utara) manakala Syria Utara di bawah Operasi Olive Branch dan Euphrates Shield.
Terdapat banyak kuasa asing yang terbabit dalam perang di Syria yang dibahagikan kepada zon, di mana kuasa asing mempunyai tentera di darat.
Rusia dan Iran menguasai kawasan dikuasai kerajaan yang juga bahagian terbesar Syria sementara AS yang mempunyai pasukan di timur laut dan timur menyokong Pasukan Demokratik Syria pimpinan tentera Kurdish.
Turkiye pula mempunyai tentera darat di barat laut negara itu yang dikuasai pemberontak.
“Saya melihat apa yang berlaku ini juga sangat menguntungkan Amerika kerana mereka akan dapat terus menguasai minyak di Asia Barat dan mendapatkannya dengan harga yang murah.
“HTS sebagai ketua dalam pemberontakan ini, sudah tentu ada perjanjian dengan Amerika untuk terus mengekalkan kepentingan negara berkenaan dan mendapatkan sesuatu sebagai balasan iaitu kuasa.
“Kita juga dapat lihat peristiwa ini berlaku terlalu cepat kerana elemen-elemen luar. Selain daripada Israel, Ukraine juga terlibat dalam memberikan latihan, berlaku pemindahan teknologi terutama sekali pembuatan dron kepada pemberontak, malah HTS juga dibekalkan dengan senjata, latihan,” jelasnya.
Menurut beliau, apa yang lebih jelik ialah HTS dan beberapa kumpulan lain sebenarnya sudah disenaraikan oleh AS sebagai pengganas namun kelompok itu yang menjatuhkan kerajaan Assad, kini dianggap sebagai wira dan dijulang serta disanjung oleh negara barat itu.
Justeru, beliau melihat ‘keseronokan’ rakyat Syria mungkin hanya sementara kerana sikap bermuka-muka AS, Israel dan sekutunya.
“Selepas ini, kita akan lihat campur tangan yang lebih aktif daripada Amerika dan Israel di Syria. Malah, Israel menyerang markas ketenteraan di Syria supaya mereka tiada kapasiti untuk melancarkan serangan.
“Mereka nak jatuhkan Assad kerana beliau membantu Hezbollah dalam pembekalan senjata dan Israel memang kalah sebenarnya dalam peperangan dengan Hezbollah.
“Jadi, caranya adalah dengan menukar kerajaan di Syria. Keduanya, kerajaan baharu ini dijangka tidak akan ada hubungan baik dengan Iran dan Rusia. Ini memang taktik mereka supaya kelompok baru pentadbir ini akan menjadi pro kepada Amerika dan memusuhi Iran dan Syria,” jelasnya.
Beliau juga melihat kemungkinan Syria melalui nasib yang sama di Iraq dan Afganistan dengan kemungkinan kumpulan itu akan diserang oleh AS disebabkan doktrin yang masih lagi dianggap pengganas.
CABARAN BARU
Sementara itu, Ketua Pusat Kajian Asia Barat Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Abdul Rahim Ahmad berkata, antara cabaran Syria selepas ini adalah bersatu.
Jelasnya, di Syria bukan sahaja terdapat bangsa Arab walaupun orang Islam merangkumi lebih 86 peratus, tapi terdapat juga bangsa Kurdi yang sentiasa menuntut hak untuk menubuhkan negara sendiri.
“Namun, mereka boleh bersatu kalau berada pada tangan (pemimpin) yang sesuai, apatah lagi rakyat Syria terlalu derita sejak kekacauan ini berlaku bermula 13 tahun lalu iaitu 2011. Sudah tentu mereka amat inginkan dan dambakan keamanan serta kestabilan.
“Cabaran paling besar sebenarnya ialah Israel yang tidak henti-henti mengebom pusat-pusat strategik seperti pusat kajian saintifik, lapangan terbang dan tempat-tempat lain yang dirasakan boleh menggugat Israel,” jelasnya.
Selain itu, beliau melihat cabaran ekonomi memandangkan mata wang Syria iaitu Lira terjejas teruk dan mungkin akan mengambil masa beberapa tahun untuk pemulihan.
Ulasan
Catat Ulasan