Berita
‘Harap pesalah insaf, masyarakat ambil iktibar hukuman sebatan syariah’
Diterbitkan: Dec 27, 2024 5:01 PMMasyarakat setempat yang hadir mengikuti perkembangan proses hukuman sebatan terhadap pesalah khalwat berulang di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu, hari ini, meletakkan harapan agar tiada lagi kes seumpama itu berulang pada masa akan datang.
“Saya harap pesalah ini benar-benar insaf selepas tiga kali melakukan kesalahan sama yang akhirnya disebat di luar penjara.
“Jadi kita sama-sama doakan agar hukuman dijalani hari ini adalah kali pertama dan terakhir berlaku. Semoga tiada lagi orang yang melakukan kesalahan sebegini,” kata Mohd Salleh, 67, ketika ditemui Malaysiakini.
Terdahulu pesalah khalwat berulang di Terengganu selesai menjalani hukuman sebatan syariah yang diadakan di hadapan kira-kira 90 orang di dewan masjid berkenaan.
Mohd Affendi Awang, 42, yang juga seorang duda dihukum dengan enam kali sebatan atas kesalahan khalwat berulang. Hukuman berkenaan dijalankan oleh pegawai Jabatan Penjara Malaysia.
Hukuman sebatan syariah itu menjadikan dia pesalah pertama di negeri itu disebat di hadapan 90 orang hadirin yang dibenarkan masuk ke dewan tersebut.
Muhammad Al-Abror Amir Husin
Seorang kakitangan awam, Muhammad Al-Abror Amir Husin, 26, pula berkata hukuman sebatan terhadap pesalah itu diharap menjadi pengajaran kepada orang ramai untuk tidak melakukan kesalahan itu.
“Sepatutnya pesalah itu insaf selepas menjalani hukuman sebatan disaksikan orang ramai dan menjadi tumpuan ramai yang hadir di masjid hari ini.
“Secara umumnya kalau saya di tempat pesalah itu, saya dah menyesal sangat dah, tak mahu dah (buat kesalahan sama).
“Tapi kita tak tahulah macam mana penerimaan pesalah itu sendiri, dengan kehadiran orang ramai ini sesuatu yang sangat memalukan,” katanya yang hadir mengikuti perkembangan proses hukuman tersebut.
Muhammad Husaif Mamat
Bagi Muhammad Husaif Mamat, 30, hukuman sebatan yang dijalankan kali ini mencapai matlamat untuk mendidik pesalah dan masyarakat umum.
“Hukuman terhadap pesalah khalwat berulang ini diharap dijadikan iktibar kepada seluruh masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.
Sementara itu Timbalan Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) Muhammad Hariz Md Yusoff berkata, proses enam kali sebatan syariah itu berlangsung kira-kira lima minit.
Hadir menjadi pemerhati hukuman dijalankan menurutnya, pesalah kelihatan tidak mengadu kesakitan susulan sebatan tersebut.
“Alhamdulillah, pelaksanaan sebatan syariah tersebut berjaya dijalankan dengan lancar meskipun wujud tentangan hebat oleh beberapa institusi dan individu.
“Hasil penyaksian kami, PPMM dengan tegas menolak tohmahan dan persepsi terhadap buruk yang menyatakan bahawa pelaksanaan hukuman sebatan syariah di Terengganu melanggar prinsip kemanusiaan dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan