Hukuman sebat syariah luar penjara pertama di Malaysia



Hukuman sebat syariah luar penjara pertama di Malaysia
December 26, 2024


KUALA TERENGGANU: “Saya berpuas hati, alhamdulillah,” kata Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah Negeri Terengganu, Ustaz Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Beliau mengulas demikian ketika dihubungi HarakahDaily mengenai persiapan pelaksanaan hukuman sebatan syariah yang akan dilaksanakan selepas solat Jumaat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di sini esok.

Menurut beliau, pelaksanaan hukuman itu telah dirancang dengan teliti bersama pelbagai pihak termasuk Mahkamah Syariah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara, pihak masjid dan lain-lain agensi.

“Hari ini kami datang untuk meninjau persiapan akhir untuk pelaksanaan hukuman sebat di luar penjara yang merupakan satu pelaksanaan buat pertama kali di Malaysia yang kita mulakan di Negeri Terengganu.

“Kita diberikan taklimat oleh pihak Mahkamah sebentar tadi, yang turut dihadiri oleh PDRM, Penjara, pihak masjid dan lain-lain supaya perjalanan yang akan berlaku esok berjalan dengan baik dan sempurna, insya-Allah,” ujarnya.

Beliau berkata, hukuman sebat diadakan bertujuan untuk memberi kefahaman kepada masyarakat umum mengenai pelaksanaannya yang selari dengan maqasid syariah.

“Memang kita sudah maklum pelaksanaan hukuman sebat ini berlaku sejak daripada enakmen diwujudkan, namun pemerkasaan yang kita buat pada hari ini, kita nak supaya pelaksanaan itu diketahui oleh umum dan sesuai, selari dengan maqasid syariah itu sendiri supaya ia menjadi pengajaran kepada masyarakat,” katanya.

Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk turut menyeru umat Islam di negeri ini agar terus berdoa supaya pelaksanaan hukuman itu berjaya mencapai matlamatnya.

“Pesanan saya supaya semua masyarakat umat Islam mendoakanlah supaya perjalanan berjalan dengan baik esok insya-Allah.

“Apa yang kita lakukan ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam konteks untuk terus memperkasakan undang-undang syariah di Negeri Terengganu bukan sahaja dari sudut teori tetapi dari sudut pelaksanaan juga insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/12/2024

Ulasan