Jangan lari dari bayar hutang
Oleh Imran Mohamad Nor
12 Disember 2024, 7:10 am
“WAHAI orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil. (al-Baqarah: 282)
“Barang siapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah SWT akan menunaikannya untuknya. Barang siapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah SWT akan membinasakan dirinya.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Firman Allah SWT dan sabda Rasulullah SAW sengaja dipetik sebagai mukadimah ruangan Minda kali ini bagi membicarakan topik hutang. Juga untuk menyatakan bahawa betapa pentingnya bahkan wajib bagi kita sebagai umat Islam membayar hutang sehinggakan Allah SWT akan menghukum mereka yang gagal melunaskannya.
Ada yang kata, hidup ini memang tidak boleh lari dari berhutang. Hendak beli kenderaan kena berhutang, hendak beli rumah kena buat pinjaman, hendak berniaga pun kena cari modal dengan bank atau agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) atau seumpamanya.imra
Malah lebih pasti lagi kena berhutang apabila pelajar-pelajar yang ingin sambung pengajian ke menara gading tempatan atau luar negara. Mereka terpaksa menandatangani borang pinjaman sama ada dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atau Mara.
Sehingga 31 Disember 2023, PTPTN telah meluluskan 3,951,404 pinjaman dengan jumlah keseluruhan dikeluarkan sebanyak RM71.3 bilion.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,716,110 pinjaman telah patut mula dibayar balik dengan amaun patut bayar balik keseluruhan berjumlah RM32.29 bilion.
Mara pula merekodkan dalam tempoh 10 tahun berjaya mengutip RM3.3 bilion hutang daripada peminjam liat.
Selain itu, Mara juga merekodkan sebanyak 197,348 peminjam aktif di mana 97,866 peminjam atau 49 peratus telah disenarai hitam oleh Mara kerana gagal membayar balik pinjaman. Semua peminjam ini terdiri daripada pelajar dan usahawan yang turut terdiri daripada golongan selebriti.
Keprihatinan PTPTN memberi peluang kepada pelajar, manakala usaha Mara membangunkan usahawan dan memberi peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara dengan menawarkan pelbagai pinjaman kepada segmen pelanggan, kini berdepan dengan masalah tunggakan hutang daripada mereka yang lalai dan tidak amanah.
Seharusnya mereka perlu membayar balik pinjaman kedua-dua agensi kerajaan ini kerana wang itu nanti juga akan digunakan untuk membantu pelajar dan usahawan lain untuk berjaya.
Jangan lari daripada tanggungjawab membayar hutang. Ingat dan renungkanlah firman Allah SWT dan sabda Rasulullah SAW. – UTUSANIMRAN MOHAMAD NOR ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan