Jumaat pertama 2025 di Johor kerja atau cuti?
LEE TING HAN berucap pada majlis JS-SEZ, di Johor Bahru, Johor.
Oleh KHAIRUL MOHD ALI
13 Disember 2024, 7:51 am
JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri belum memutuskan sama ada Jumaat pertama tahun depan merupakan cuti hujung minggu atau hari bekerja berikutan penyelarasan semula cuti di negeri ini bermula 1 Januari depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, perkara itu hanya akan diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, minggu depan dan perbincangan mendalam dengan pelbagai pihak perlu dibuat kerana melibatkan implikasi undang-undang.
“Minggu depan kita akan adakan mesyuarat bagi membincangkan sama ada untuk minggu itu sahaja, rakyat Johor perlu bekerja dan bersekolah enam hari atau dikecuali sehari.
“Kita akan kaji cara terbaik untuk minimumkan gangguan kepada pelajar, pekerja dan sebagainya. Ini kerana ada implikasi melibatkan kerja lebih masa, elaun dan lain-lain. Tidak boleh umum sahaja dan terus buat,” katanya ditemui pada majlis berkenaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), di sini semalam.
Pada 7 Oktober lalu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menitahkan supaya cuti hujung minggu negeri ini ditukar semula ke Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari ini. Tarikh 1 Januari 2025 adalah hari Rabu.
Dalam pada itu, Ting Han turut berharap pengumuman berhubung perkara tersebut tidak terlalu lewat memandangkan tahun 2024 hanya berbaki kurang tiga minggu.
“Kita harap tidak terlalu lewat agar ibu bapa, majikan dan pekerja dapat membuat persediaan berkaitan sewajarnya,” tambahnya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan