Kerja empat hari seminggu idea buruk untuk negara
Oleh Mohamad Azlan Jaafar
2 Disember 2024, 7:07 am
BARU-BARU ini terdapat cadangan supaya dipertimbangkan jumlah hari kerja 4.5 hari berbanding lima ketika ini. Cadangan itu berkisar mengenai keseimbangan kerja-kehidupan serta masa untuk aktiviti lain.
Cadangan 4.5 hari kerja seminggu untuk sektor awam disifatkan dapat meningkatkan fleksibiliti serta inovatif dan berhemat.
Sebelum mana-mana pihak meloncat kegembiraan, harus diingat untuk cadangan itu berjaya, sistem penyampaian harus masih berfungsi dengan berkesan. Jumlah jam kerja tidak akan berkurangan, sebaliknya ditambah pada hari lain.
Konsep kerja 4.5 atau empat hari sudah dilaksanakan di beberapa negara seperti Belgium, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iceland dan Perancis. Di UAE, empat hari bekerja termaktub untuk semua kakitangan awam. Di negara lain ia bukan undang-undang, tetapi dilaksanakan kerajaan tempatan atau syarikat.
Di United Kingdom, Amerika Syarikat, Sepanyol, Jepun, Portugal, Kanada dan Korea Selatan, ujian di kalangan syarikat korporat sudah berjalan atau masih berjalan.
Di kalangan negara Scandinavia seperti Denmark, pekerjanya hanya bekerja 33 jam seminggu manakala di Belanda, purata waktu kerja hanya 29 jam seminggu. Adakah kita sesuai melaksanakan empat hari bekerja?
Negara yang melaksanakan konsep kerja empat hari antara negara terkaya atau purata pendapatan per kapita tinggi. UAE kaya raya kerana hasil minyak. Amerika Syarikat ekonomi terbesar di dunia. Begitu juga Jepun, Perancis, Belanda dan Denmark.
Negara-negara ini menjana kekayaan kerana mereka pengeluar untuk pasaran dunia. Kita bukan bercakap mengenai mengeluarkan kerepek atau roti canai sejuk beku. Mereka mengeksport kepakaran, kejuruteraan, teknologi, kapal terbang, jet pejuang, kapal selam atau sekurang-kurangnya pusat kewangan seperti Singapura.
London terkenal bukan kerana bola sepak. London ialah pusat terbesar untuk pasaran derivatif, tukaran matawang, insurans antarabangsa, dagangan emas, perak dan mineral lain. Di bandar itu, pasaran tukaran wang asing (FX ) bernilai AS$2.9 trilion sebulan. Transaksi sebulan FX di London adalah enam kali ganda nilai ekonomi Malaysia setahun.
Itu ekonomi yang boleh beroperasi empat hari seminggu. Malaysia adalah negara membangun. Kita bukan dalam kelompok 50 negara terkaya di dunia, (tetapi kedudukan negara dalam ekonomi lebih baik berbanding ranking bola sepak).
Ekonomi negara berteraskan pembuatan, elektronik, pengeluaran, pertanian, minyak, sawit, dan eksport barangan siap. Negara tiada syarikat seperti Google yang menggunakan kuasa komputer dan menjana pendapatan AS$305 bilion.
Idea bekerja selama empat hari adalah buruk kerana negara ini juga dibanjirkan dengan pelbagai cuti, mungkin antara paling banyak di dunia. Setiap keraian diberikan cuti.
Harus diingat, cuti keterlaluan mengurangkan produktiviti.
Malah hari ini banyak syarikat menutup terus operasi pada hari cuti kerana kos operasi tidak setimpal dengan pendapatan. Malaysia bukan negara kaya. Kita bukan negara maju. Kita bukan negara kalau dikorek sedalam 10 kaki akan menemui minyak. Pernah sesiapa bertanya mereka yang menjual goreng pisang atau buah di tepi jalan memilih bekerja empat hari seminggu.
Sehingga negara mencapai taraf tertentu, mengurangkan hari kerja hanya menggalak kemalasan, kurang produktiviti dan generasi yang tidak tahu erti kerja keras. Tiada ganti kepada kerja keras untuk berjaya.
Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn Bhd
Ulasan
Catat Ulasan