Kes saya lawan Hannah Yeoh 14, 16, 17 Jan ini
December 30, 2024
PADA 29 September 2019, mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, ada menulis satu rencana mengenai Forum Naratif Malaysia Baharu yang diadakan pada 14 September 2019 di Mega Chinese Methodist Church, Kota Damansara, Selangor di mana forum ini dibuka dan ditutup oleh dua orang pemimpin DAP.
Dalam rencana tersebut, Tun Abdul Hamid mengeluarkan secara verbatim (sepatah demi sepatah) apa yang dinyatakan oleh para pemberi ucapan di dalam Forum Naratif Malaysia Baharu. Pada akhirnya Tun Abdul Hamid membuat kesimpulan beliau yang antara lainnya adalah berbunyi:
“Kita boleh simpulkan tujuan forum itu, iaitu:
1. Untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara Tuhan berasaskan Manifesto Jesus.
Dalam kata-kata lain, dalam usaha menegakkan Negara Tuhan itu, mereka juga mahu mengkristiankan orang Melayu/Islam.
Saya tujukan rencana ini kepada semua orang Melayu/Islam melampaui sempadan parti politik di Malaysia. Ini adalah ancaman kepada kita semua yang kita perlu tentang bersama.
Yang paling mendukacitakan ialah apabila Menteri Belia dan Sukan (seorang Melayu/Islam) ditanya mengenai aktiviti (pemberi ucapan) itu, beliau menjawab, “Dia tidak cuba mengkristiankan saya pun”. Itu bukanlah jawapan yang layak diberi oleh seorang Menteri. Ia menunjukkan betapa naifnya menteri Melayu dalam kabinet PH.””
Saya kebetulan menziarahi Tun Abdul Hamid yang keuzuran sejak sekian lama di kediaman beliau di Desa Pinggiran Putra, Putrajaya, pada 20 Disember lalu. Kami ada juga berbicara mengenai perkara ini dalam mana saya menyatakan kehairanan saya mengapa beliau tidak pernah menerima apa-apa kecaman atau saman fitnah kerana menyiarkan rencana ini.
Tun Abdul Hamid berkata, sebagai seorang mantan hakim, beliau menulis berdasarkan kepada fakta. Beliau menyenaraikan semua fakta yang ada (termasuk khasnya petikan ucapan secara verbatim) dan kemudian membuat kesimpulan munasabah (logical conclusion) daripadanya. Inilah juga yang saya lakukan dalam membuat satu komentar ke atas buku Hannah Yeoh pada 10 Mei 2017.
Dalam komentar itu saya menyenaraikan semua fakta yang ada:
“Di dalam buku ini, Hannah Yeoh secara terbuka mengakui bagaimana penglibatan beliau di dalam bidang politik dibantu oleh pihak Kristian, baik dari segi dana mahupun kempen, bagaimana beliau menggunakan kedudukan politik beliau untuk berdakwah mengenai agama Kristian dan sebagainya. Lebih dari itu, beliau juga menyeru ahli-ahli Felo Kristian Seberang Laut khususnya dan penganut agama Kristian umumnya untuk mengikut jejak langkah beliau menceburkan diri dalam bidang politik untuk membina semula Malaysia mengikut acuan agama Kristian.”
Seterusnya saya membuat kesimpulan munasabah berbunyi:
“Jelas berdasarkan kepada segala pengakuan terbuka Hannah Yeoh ini maka peri pentingnya prinsip sekularisme dalam perjuangan politik DAP adalah satu hipokrasi semata-mata. Sebaliknya, gambaran yang diberikan melalui buku ini adalah bahawa, bagi DAP, pemisahan urusan politik daripada urusan agama ini hanya perlu dibuat jika urusan agama ini adalah urusan agama Islam, tetapi jika urusan agama ini adalah urusan agama lain seperti Kristian maka tidak mengapa.”
Ini adalah satu komen yang adil, tetapi sebaliknya Hannah Yeoh enggan berhujah dengan saya tetapi membuat satu laporan polis terhadap saya dengan membuat satu dakwaan tidak berasas bahawa keselamatan diri beliau terancam akibat kenyataan saya dengan menyatakan: “Isi kandungan kenyataan Facebook tersebut yang menyatakan bahawa DAP giat mencampurkan urusan politik dengan urusan agama, terutamanya agama Kristian, merupakan satu tuduhan yang tidak benar… Kenyataan tersebut menimbulkan risiko yang tinggi terhadap keselamatan diri saya dan ahli-ahli DAP.”
Oleh itu, saya bertindak balas dengan membuat satu laporan polis terhadap beliau juga. Isu ini menjadi agak hangat dengan pemimpin dan penyokong beliau menghentam saya kiri dan kanan, tetapi tidak banyak yang berlaku sehinggalah Tan Sri Musa Hassan, dalam usaha beliau mempertahankan diri daripada saman yang difailkan oleh Hannah Yeoh atas kenyataannya di dalam satu forum anjuran Kursi Institut Majlis Raja-Raja UiTM pada 30 Januari 2020, memetik nama saya sebagai sumber rujukannya. Ini menyebabkan Hannah Yeoh turut menyaman saya pada tahun 2022, lima tahun selepas kenyataan saya dikeluarkan.
Saya tetap berpegang bahawa kenyataan saya hanyalah pandangan faktual yang berdasarkan petikan daripada buku Hannah Yeoh. Saya menyatakan perkara yang sama semasa memberi keterangan sebagai saksi dalam perbicaraan kes Tan Sri Musa Hassan pada 22 Ogos lalu, dan pada 23 Disember lalu Tan Sri Musa Hassan telah diumumkan memenangi kes tersebut.
Saya gembira bahawa Hakim Mahkamah Tinggi dalam kes Tan Sri Musa Hassan bersetuju dengan kesimpulan munasabah saya apabila beliau menyatakan dalam penghakiman ringkasnya bahawa:
“Evidence shows admissions by Plaintiff: that she preaches Christianity subtly in Malaysia, that she returned as ‘God’s Ambassador’, that she wanted to preach through her political (offices), and that her book was intended for everyone, not just Christians.” (“Bukti menunjukkan pengakuan oleh Plaintif bahawa beliau menyampaikan ajaran Kristian secara halus di Malaysia, kembali sebagai ‘Duta Tuhan’, ingin berdakwah melalui jawatan politiknya, dan bahawa bukunya ditujukan untuk semua orang, bukan hanya kepada penganut Kristian.”)
Untuk kawan-kawan yang ramai bertanyakan saya mengenai hal ini, kes saya melawan Hannah Yeoh dijadualkan untuk didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 14, 16 dan 17 Januari depan. Doakan kemenangan saya dalam kes ini.
DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF
Pensyarah Kanan
Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa
Universiti Utara Malaysia – HARAKAHDAILY 30/12/2024
Ulasan
Catat Ulasan