Khidmat Malaysia lancar Tabung Musa’adah Bencana Banjir


Gimik pelancaran Tabung Musa'adah Bencana Banjir disempurnakan oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. (FOTO: HARAKAHDAILY/MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE)

Khidmat Malaysia lancar Tabung Musa’adah Bencana Banjir
December 14, 2024

BANGI: Para pendukung dan penyokong PAS adalah diseru untuk berganding bahu membantu mangsa banjir yang terjejas di seluruh negara dengan menghulurkan sumbangan melalui Tabung Musa’adah Bencana Banjir.
- Advertisement -


Pengerusi Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia), Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaari mengajak untuk inisiatif tersebut dilaksanakan sebagai menyahut seruan Rasulullah SAW sebagaimana hadis riwayat Muslim.

“Barangsiapa yang membantu meringankan dan menghilangkan kesusahan seorang Muslim di dunia, Allah akan menghilangkan kesusahannya di dunia dan akhirat,” ungkap beliau yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

Menurutnya, bantuan tersebut bukan sahaja meringankan beban mereka yang terkesan, tetapi menjadi rahmat Allah serta tanda kasih sayang-Nya, diucapnya ketika tanyangan montaj pada sesi Pelancaran Tabung Musa’adah Bencana Banjir sempena Liqa’ Fikri PAS Pusat, di sini, hari ini.

Beliau juga berkata sumbangan dihulurkan akan membantu menyediakan keperluan asas, pemulihan kediaman, serta sokongan psikososial kepada mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir.

Tambah beliau, senyuman anak kecil atau kelegaan ibu bapa yang terjejas adalah ganjaran terbesar untuk mereka yang membantu dan berharap lebih ramai rakyat tampil menyumbang dan menjadikan kempen itu satu kejayaan.

Ahmad Marzuk turut mengingatkan masyarakat bahawa bersedekah tidak akan mengurangkan rezeki seseorang, sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW, ‘Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengurangi harta seseorang kerana bersedekah’.

Justeru, beliau mengajak semua pihak untuk menyumbang dengan penuh keikhlasan dan menyebarkan mesej ini agar lebih ramai dapat membantu.

Orang ramai juga boleh menyumbang dalam misi ini menerusi pautan www.khidmatmalaysia.net atau hubungi talian hotline 011-1417 4789 atau mengimbas kod QR yang tertera.

Dermawan yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 562384542866 atau akaun Bank Islam 12225010037517, atau menerusi pautan https://infaqpay.my/go/khidmatmalaysia. – HARAKAHDAILY 14/12/2024

Ulasan