Lindungi karya seni, hak cipta hasil AI


Lindungi karya seni, hak cipta hasil AI
PELABURAN melalui peruntukan belanjawan tahunan negara dalam bidang pemilikan karya kecerdasan buatan (AI) sangat diperlukan. – AFP
Oleh Meja Rencana
13 Disember 2024, 9:00 am

PEMILIKAN karya seni kreatif atau harta intelek dilindungi bukan sahaja oleh undang-undang negara, tetapi juga diiktiraf dan dihormati di bawah prinsip perundangan Islam. Malah, dalam Islam harta intelek dianggap sebagai sejenis harta dan pemeliharaannya menjadi salah satu objektif utama syariat Islam (maqasid syariah), iaitu di bawah perlindungan harta (hifz al-mal).

Walaupun, al-Quran mengakui konsep hak peribadi (haqq) atau harta persendirian (milk), tetapi pemilik mutlak semua harta adalah Allah kerana segala-galanya di dunia ini adalah milik-Nya. Istilah ‘pemilikan’ dalam konteks ini lebih mirip kepada amanah atau penatalayanan untuk Allah. Konsep pemilikan ini, bagaimanapun, termasuk hak pemilik manusia untuk menjana dan mengumpul kekayaan serta hak memiliki.

Dalam sejarah Islam, menurut Kanun Sivil Uthmaniyyah (Al-Mejelle), seseorang juga boleh memperoleh harta tanah dengan membangunkan tanah kosong atau tidak dibangunkan (mawat), menjadikan tanah tidak produktif kepada produktif yang seterusnya akan menyumbang kepada penciptaan pemilikan. Begitu juga, jika seseorang mencipta atau mengekstrak barang tanpa pemilik (iaitu logam atau mineral daripada tanah), orang itu boleh memilikinya.

Ini juga bermakna bahawa sebarang tindakan kreatif untuk mengubah sesuatu yang tidak berguna kepada berguna diiktiraf sebagai proses memperoleh pemilikan.

Harta intelek sememangnya kreatif, mencipta nilai daripada nilai itu tidak wujud kepada sangat bernilai. Ia juga boleh dikembangkan kepada ‘penciptaan nilai’ kepada sesuatu yang berguna seperti komoditi yang boleh dipasarkan dan dimiliki.

Dalam kes ini, karya seni yang dihasilkan oleh program kecerdasan buatan (AI) boleh dimiliki sama ada oleh pengaturcara, pengguna atau majikan.

Pelaburan melalui peruntukan belanjawan tahunan negara dalam bidang pemilikan karya AI sangat diperlukan dalam memelihara hak kreatif anak tempatan sekali gus menjana pendapatan yang tinggi.-UTUSAN

DR. SHAHINO MAH ABDULLAH
Pensyarah Kanan & Ketua Kumpulan Penyelidikan SMART’,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Ulasan