‘Maafkan kami atas apa yang terkurang’



‘Maafkan kami atas apa yang terkurang’
December 1, 2024

KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim memohon maaf kepada mangsa banjir kiranya ada yang terkurang dalam memberikan khidmat kepada mereka.

“Maafkan kami atas apa yang terkurang dalam memberikan khidmat kepada rakyat di musim bencana ini. Musibah dari Allah,” ujarnya dalam hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Justeru, katanya sebagai hamba Allah perlu untuk mengatur dan merancang dengan sebaik-baiknya.

“Kita sebagai hamba diwajibkan untuk mengatur dan merancang sebaiknya.

“Tak semua perjalanan akan berlaku sebagaimana atas kertas kerana kita perlu reserve dengan banyak faktor luar jangka,” ujarnya.

Menurutnya, persiapan jentera banjir DUN Jabi telah disusun sejak Oktober lagi.

Tambahnya, lebih 40 pusat pemindahan sementara (PPS) telah diwartakan di setiap kampung dalam DUN Jabi serta dipastikan berada dalam keadaan baik.

Jelasnya, penyusunan bersama jabatan dan agensi bantuan bencana telah diselaraskan di mana bilik gerakan menunggu arahan untuk diaktifkan.

Beliau berkata, jentera dan peralatan bantuan diletakkan dalam keadaan bersedia dan bekalan dihantar ke pangkalan hadapan yang dinamakan Fasa Sebelum Banjir.

Katanya lagi, Fasa Semasa Banjir difokus kepada operasi menyelamat dan memindahkan mangsa serta memastikan mangsa berada dalam keadaan baik di PPS.

Dr Azman menambah, hari ini telah dimulakan Fasa Operasi Selepas Banjir di mana rumah yang ditenggelami air perlu dibersihkan sebelum mangsa dibenarkan pulang.

“Kalau perlu insya-Allah kita hantar makanan siap masak kerana tuan rumah perlukan sedikit masa untuk menguruskan banyak perkara bagi memulihkan semula rumah kediaman.

“Ia dinamakan Program Dapur Rakyat,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri. – HARAKAHDAILY 1/12/2024

Ulasan