Manusia, wang dan gaji

Manusia, wang dan gaji

24 Disember 2024 10:00am
Masa membaca: 3 minit


KISAH pekerja tidak berpuas hati dengan gaji adalah isu lumrah. Ia mungkin cerita kebanyakan orang. Beberapa bulan lalu di India, Rajiv Ojha, seorang pemilik kedai telah dibunuh oleh pekerjanya gara-gara tidak berpuas hati isu gaji. Sepertinya, hanya disebabkan oleh gaji, manusia boleh membunuh.

Di negara kita, jika bertanya kakitangan awam, akan selalu kedengaran rungutan — ‘kalau nak kaya, jangan kerja kerajaan’ tetapi jika kita berbual dengan mereka yang bekerja dalam sektor swasta pun, akhirnya kita mendengar cerita sama juga.

Gaji yang sedikit dan tak cukup makan tetapi setiap kali musim perayaan atau cuti, kita lihat di jalan raya sesak dengan manusia. Hotel juga habis ditempah. Jadi, tak tahu di mana pula tidak cukupnya.

Cuma jika kita bertanya dengan pekerja dari Bangladesh atau Indonesia, mereka selalu akan berkata bekerja di Malaysia satu rahmat. Gajinya besar.

Jika kita bertanya orang Malaysia yang merantau ke negara maju seperti di Australia atau United Kingdom, sudah tentulah mereka juga akan memuji gaji besar yang mereka peroleh tetapi orang tempatannya pula mungkin merungut.

Di negara kita, kerajaan baru memperkenalkan sistem gaji baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA). Rata-ratanya skim gaji lebih menarik. Tapi itu pun, ia masih dikatakan tidak cukup juga. Jadi berapakah yang cukup?

Ramai berkata gaji naik, harga barang juga naik tetapi umumnya begitulah adatnya. Kenaikan gaji datang bersama kenaikan kos. Kos itu pula biasanya perlu diselaraskan dengan kenaikan bersama cukai atau bayaran perkhidmatan lain. Jadi, akhirnya orang tetap merungut juga.

Dalam psikologi, manusia biasanya akan melakukan perbandingan. Orang kita akan membuat perbandingan dengan apa yang ada di sekelilingnya. Pendatang asing mungkin membuat perbandingan dengan apa yang ada di negara asalnya. Dan, apabila membuat perbandingan, kita juga menilai diri kita sendiri.

Bagi yang ada pelajaran tinggi, gaji tertentu dianggap kecil. Bagi yang mungkin tidak belajar tinggi, gaji tertentu itu mungkin memadai tetapi setelah dibandingkan pula dengan mereka yang setara kelulusannya, gaji diterima mungkin dianggap kecil pula. Orang jarang menilai bahawa setiap kerja ada kesukarannya tersendiri dan risikonya juga berbeza-beza.

Tapi adakah rungutan itu hal yang buruk? Tak semestinya ia hal yang teruk. Ia sifat semula jadi semua orang — akan berusaha untuk mendapatkan sesuatu lebih baik. Itulah yang menjadi motivasi untuk orang terus berjuang dalam hidupnya.

Bayangkan setiap orang berasakan apa yang mereka peroleh mencukupi, agaknya apalah lagi tujuan hidup mereka. Orang yang lulus sekolah menengah tak akan lagi menyambung pelajaran ke universiti.

Orang yang sudah memiliki rumah kecil, tak lagi mengidam berumah besar, apatah lagi gaji. Setiap orang dalam hidupnya akan terus berjuang mendapatkan gaji lebih besar.

Bagi pelajar psikologi, selalu diceritakan tentang keperluan asas hidup manusia yang disandarkan kepada pandangan Abraham Maslow. Antara yang paling bawah selalu diajar ialah keperluan makan dan minum, dan termasuk juga keselamatan.

Walaupun wang tak disebut tetapi wang kini adalah keperluan asas semua orang untuk hidup. Hanya dengan wang, orang boleh berangan-angan dengan banyak perkara.

Akhirnya jika ditanya berapakah gaji yang mencukupi, tak seorang pun mampu menjawabnya. Yang bergaji besar, belanja kian besar, jadi mereka pun merungut juga. Yang bergaji kecil, pastilah akan merungut di kebanyakan waktu.

Wang memang bukan Tuhan tetapi wang itulah menjadi perantara bagi kebanyakan orang bagi mencapai mimpinya. Jadi, jika orang terus merungut tidak cukup walaupun gajinya naik, percayalah rungutan itu akan terus muncul sepanjang zaman. Itulah maknanya kita manusia.

* Mohd Awang Idris ialah seorang Profesor dalam bidang Psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya. Penulis juga ialah Profesor Adjung di Universiti of South Australia dan Profesor Madya Adjung di Griffith University.

Ulasan