Minum air ketika dengar khutbah
December 27, 2024
Soalan:
Ada setengah masjid menyediakan tempat minum air yang diletakkan di beranda masjid. Soalan saya apakah hukumnya ada hadirin yang meminum air tersebut ketika khutbah Jumaat?
Jawapan:
Siapa yang hadir di masjid pada hari Jumaat hendaklah dia menumpukan perhatian ketika khutbah disampaikan oleh khatib, dan tetapi jika dia haus lalu meminum akan air, maka perbuatannya itu adalah harus tidak menjadi kesalahan dan dimakruhkan minum air ketika khutbah kerana bersedap-sedap bukan kerana haus.
Telah berkata oleh Imam Nawawi:
يستحب للقوم ان يقبلوا على الخطيب مستمعين ولا يشتغلوا بغيره حتى قال اصحابنا يكره لهم شرب الماء للتلذذ ولا بأس يشربه للعطش للقوم والخطيب هذا مذهبنا قال ابن المنذر رخص في الشرب طاوس ومجاهد والشافعي ونهي عنه مالك والاوزاعي واحمد
Ertinya: “Disunatkan bagi hadirin supaya menumpukan perhatian kepada khatib untuk mendengarnya dan tiadalah dia sibuk dengan perkara lain sehingga berkata ashab kami dimakruhkan bagi mereka meminum air kerana bersedap. Dan tidak mengapa kalau hadirin minum air itu kerana haus sekali pun khatib sendiri. Inilah pendapat mazhab kami Syafie.
Telah berkata oleh Imam Ibnu Al-Munzhir adalah Thawus dan Mujahid dan Imam Syafie memberi kelonggaran pada meminum air dan telah melarangnya oleh Imam Malik dan Al-Auza’ie dan Imam Ahmad.” (Kitab Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab)
Kesimpulannya, seorang yang sedang mendengar khutbah harus meminum air kerana haus.
Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 27/12/2024
Ulasan
Catat Ulasan