Misteri transaksi RM8 juta FashionValet
Oleh Mohamad Azlan Jaafar
9 Disember 2024, 7:25 am
Selepas lebih kurang dua minggu siasatan, Pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar akhirnya didakwa di mahkamah. Pasangan dianggap selebriti satu masa dahulu, didakwa melakukan pecah amanah pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8 juta, enam tahun lalu.
Kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan perbicaraan akan bermula Januari depan. Pendakwaan itu susulan pendedahan kerugian lebih RM40 juta ditanggung Khazanah dan PNB dalam syarikat e-dagang milik pasangan itu.
Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta selepas menjual kepentingan dalam Fashion Valet kepada sebuah syarikat Bumiputera berbanding pelaburan RM47 juta, masing-masing RM27 juta dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam Fashion Valet.
Menjelang Januari ini masyarakat akan mengetahui bagaimana dua syarikat dana itu kehilangan lebih RM40 juta. Perbicaraan kelak akan menjadi mini siri ‘1MDB’ atau kes National Feedlot Corporation (NFCorp) yang mana kerajaan meminjamkan lebih RM250 juta untuk projek penternakan yang mana pengarahnya menggunakan wang itu untuk tujuan lain. Pengarah NFCorp dibebas dan dilepaskan tetapi terpaksa memulangkan wang pinjaman kepada kerajaan.
Sementara menanti Januari dan kebenaran menjelma, bagaimana ia bermula, apa yang sebenarnya terjadi kepada pelaburan dan bagaimana dana awam itu dibelanjakan. Itu kita tunggu pada Januari.
Beberapa persoalan bakal didedahkan kelak terutama pertanyaan orang awam mengenai peranan pemegang saham minoriti yang duduk dalam lembaga pengarah FashionValet? Atau adakah mereka ‘silent investors’ dan tidak mengetahui transaksi RM8 juta itu berlaku tanpa kelulusan? Adakah mereka memberi dana dan “ikut suka kaulah untuk belanja”.
Selalunya mana-mana pelabur yang membelanjakan puluhan juta akan menetapkan kuasa pengurusan atau delegated authority (DA) iaitu had kepada apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan pengurusan walaupun mereka pemegang saham minoriti.
Dalam syarikat senaraian awam bernilai berbilion ringgit pun, CEOnya tidak boleh menandatangani sebarang pembayaran melebihi had-had tertentu, contohnya RM1 juta tanpa kelulusan lembaga pengarah.
DA melindungi pelabur daripada sebarang tindakan salah laku. Hanya pelabur yang tidak bijak dan sanggup berpisah dengan wang berjuta ringgit tanpa menetapkan DA kepada pengarah urusan atau CEO.
Malah pemegang saham sentiasa diberikan status kewangan keuntungan dan kerugian serta aliran tunai setiap bulan. Agak mengagumkan apabila pengeluaran wang besar, gagal dilihat dalam baki tunai.
Ada CEO sering diajar akauntan yang bijak dan berjaya mengenai pengurusan kewangan. Jadi agak aneh jumlah wang besar keluar tidak dicatatkan di mana-mana terutama untuk syarikat bersaiz sederhana.
Kes FashionValet ini akan mendedahkan banyak perkara terutama bagaimana platform e-dagang itu diuruskan serta syarikat pelaburan kerajaan dalam menguruskan pelaburan mereka. Adakah selepas ini, tiada syarikat mahu wang dari agensi dana kerajaan kerana berdepan tindakan jika mengalami kerugian?
Pendedahan kelak akan menunjukkan kepincangan dalam pengurusan dan pasti akan membawa perubahan. Tetapi ia menjadi luka yang tidak mungkin hilang. Semuanya akan didedahkan Januari ini. – UTUSAN
Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.
Ulasan
Catat Ulasan