PAS tolak dakwaan sebagai parti hipokrit berhubung Pulau Batu Puteh





PAS tolak dakwaan sebagai parti hipokrit berhubung Pulau Batu Puteh

15 Disember 2024 10:50am
Masa membaca: 2 minit

SHAH ALAM - Pas menyelar tindakan sesebuah portal yang mendakwa parti berkenaan sebagai hipokrit berhubung isu Pulau Batu Puteh.

Penolong Setiausaha Agung I Pas, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, portal berkenaan telah membuat perbandingan dua tajuk penulisan sebelum dan selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Pas.

“Apabila saya sebut dalam hantaran terkini pada 11 Disember, fokus kepada kepada mencari penyelesaian kepada isu Pulau Batu Puteh yang telah terlepas dari negara kita.

“Ia bukan bermakna tidak mahu pengkhianat diambil tindakan. Lebih-lebih lagi dikaitkan nak mempertahankan Dr Mahathir, apa cerita?” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Pada 28 Jun 2022, Khairul Faizi mengeluarkan kenyataan yang menggesa tindakan undang-undang terhadap pengkhianat sehingga kehilangan hak dan kedaulatan Pulau Batu Puteh.

Berhubung isu sama, beliau sekali lagi tampil dengan kenyataan yang bertajuk ‘Pulau Batu Puteh: Fokuslah Mencari Jalan Penyelesaian, Bukannya siapa yang bersalah’.

Mengulas lanjut, Khairul Faizi menyatakan bahawa beliau boleh menjangka ada yang keliru disebabkan sikap enggan meneliti isi kandungan penulisan tersebut.

“Saya tahu memang ada jenis pembaca cukup liat untuk membaca isi kandungan tetapi hanya membaca tajuk dan membuat ulasan mengikut yang mereka mahukan.

“Bagaimanapun, saya percaya akan ada sebahagian lagi yang masih boleh dijernihkan pemikiran mereka,” ujarnya

Ulasan