Perikatan Nasional tidak boleh bergantung undi satu pihak sahaja


Perikatan Nasional tidak boleh bergantung undi satu pihak sahaja
PERIKATAN Nasional (PN) mempunyai potensi yang sangat kuat untuk memenangi hati pengundi bukan Melayu.
Oleh Meja Rencana
13 Disember 2024, 9:00 am

MASA depan Perikatan Nasional (PN) tidak boleh bergantung pada undi satu kumpulan sahaja. Malaysia ini milik semua rakyatnya. Kita perlu menjadi sebuah gabungan mencerminkan aspirasi negara yang dibina atas asas perpaduan, kemajmukan dan keadilan.

Setiap warganegara bukan sahaja harus merasa diterima di tanah air tetapi diberi ruang yang adil untuk berkembang, bebas dari belenggu pandangan yang hanya berpaksikan kepada satu budaya atau satu agama. PN tidak boleh menjadi sekadar bayangan sebuah gabungan, tetapi mesti berani menunjukkan diri sebagai platform sebenar untuk semua rakyat Malaysia.

PN perlu lebih agresif untuk menang lebih besar. PN mempunyai potensi yang sangat kuat untuk memenangi hati pengundi bukan Melayu. Realitinya, pengundi bukan Melayu telah terlalu lama merasa terpinggir oleh kerajaan semasa di peringkat Persekutuan. Mereka bukan hanya angka dalam pilihan raya. Mereka adalah rakyat Malaysia dan berhak mendapat gabungan yang mewakili suara dan kepentingan mereka.

Visi saya untuk PN adalah sebuah gabungan yang benar-benar berfungsi untuk rakyat jelata tanpa mengira kaum atau agama. Gabungan ini harus menjadi suara untuk mereka yang tidak dilihat, tidak didengar, dan tidak dibela.

Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) berperanan besar dalam mewakili aspek-aspek pluralisme yang menjadikan Malaysia sebuah negara unik, seperti yang termaktub dalam slogan ‘Malaysia Truly Asia’. Kita adalah suara nilai-nilai pelbagai budaya, bahasa dan agama yang menjadi teras kepada identiti negara ini.

Untuk itu, PN harus menjadi sebuah gabungan yang progresif, inklusif dan berprinsip, bukan sekadar slogan kosong. Kita tidak mahu hanya wujud di permukaan, tetapi menjadi kuasa sebenar yang membawa perubahan positif untuk semua rakyat Malaysia.-UTUSAN


WONG CHIA ZHEN
Ketua Pemuda
Parti Gerakan Rakyat Malaysia

Ulasan