Polis tahan 13 lelaki, 40,000 video, gambar pornografi kanak-kanak ditemukan
ANTARA video lucah dimuat turun seorang daripada 13 suspek dipercayai terlibat dengan aktiviti pornografi kanak-kanak yang ditahan di Petaling Jaya, Selangor semalam
Oleh NURAINA HANIS ABD. HALIM
25 Disember 2024, 6:25 am
PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat kemungkinan 40,000 video dan gambar pornografi kanak-kanak serta dewasa yang ditemukan pada komputer milik 13 suspek yang ditahan, untuk dijual di media sosial atau sesawang gelap.
Dalam operasi bersepadu PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) itu, seramai 13 individu berusia 20 hingga 74 tahun ditahan menerusi serbuan ke atas 18 premis di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu, semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti bahan pornografi ditemukan pada komputer millik kesemua suspek ditahan untuk simpanan peribadi atau dijual menerusi mana-mana aplikasi media sosial.
Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada pengurus akaun, jurukimpal, jurujual, pekebun, pengurus akaun, jurugambar bebas, pereka grafik dan penganggur.
“Dalam operasi itu, pelbagai peranti dan peralatan komputer dirampas antaranya tujuh buah komputer, satu komputer riba, 11 telefon bimbit, tujuh modem, sembilan router, satu cakera video digital (DVD) dan cakera keras.
“Kira-kira 40,000 bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dan bahan pornografi dewasa turut ditemukan dalam komputer terbabit.
“Siasatan turut mendapati ada antara video dan gambar yang disimpan membabitkan kanak-kanak serta wanita dari negara ini dan luar negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Menurutnya, operasi tersebut dijalankan hasil risikan PDRM dan MCMC bagi menjejaki pesalah seksual berkaitan aktiviti seksual secara atas talian yang melibatkan bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak.
Jelasnya, operasi itu melibatkan seramai 107 pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Bahagian Bantuan Teknik (D6) dan Bahagian Forensik (D10) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) serta MCMC.
“Kesemua suspek yang ditahan direman antara satu hingga empat hari bermula hari ini.
“Siasatan dilakukan di bawak Seksyen Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 Dan memiliki bahan lucah Seksyen 292 Kanun Keseksaan,” katanya.
Razarudin berkata,orang ramai terutamanya golongan remaja dan kanak-kanak dinasihatkan agar meningkatkan kawalan kendiri, menjaga batas moral dan adab bersosial di dalam talian.
Jelasnya, ia bagi mengelak menjadi mangsa jenayah seksual serta menyedarkan ibu bapa, masyarakat dan penyedia platform tentang tanggungiawab melindungi dan menjaga keselamatan kanak-kanak.
“PDRM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah dan tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang melakukan dan melibatkan diri dalam aktiviti jenayah,” katanya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan