ULASAN RINGKAS BUKU BERTAJUK “PERPINDAHAN IBU KOTA INDONESIA KE KALIMANTAN: IMPLIKASINYA KE ATAS NEGERI SABAH, MALAYSIA"





ULASAN RINGKAS BUKU BERTAJUK “PERPINDAHAN IBU KOTA INDONESIA KE KALIMANTAN: IMPLIKASINYA KE ATAS NEGERI SABAH, MALAYSIA"

Alhamdulillah, dengan semangat dan jiwa yang kental ketika berada di Negeri Sabah dan selepas menerima hadiah sebuah buku yang bertajuk "Perpindahan Ibu Kota Indonesia Ke Kalimantan: Implikasinya Ke Atas Negeri Sabah, Malaysia" pada 15 Disember yang lalu maka saya memulakan pembacaan buku ini sejurus menerimanya. Kebetulan, buku ini saya terima di Kota Kinabalu, Sabah maka kehendak untuk meneliti isi kandungannya sangat membara.

Buku ilmiah bukannya buku novel yang mana ia perlu diteliti dengan sebaliknya, bukannya ada penceritaan kisah yang ada plot, kisah dramatik, konflik mahupun fiksyen yang akan memaksa kita untuk terus membaca.

Bagaimana saya menghabiskan bacaan buku ini? Pertamanya, memandangkan perjalanan di Sabah dari satu tempat ke satu tempat mengambil masa yang lama, maka saya cuba untuk meluangkan masa membaca. Dalam keadaan perjalanan yang mencabar dan keadaan kenderaan yang sukar untuk tidur sepanjang perjalanan Maka saya fikir adalah lebih baik saya membaca.

Keduanya, Ibu Kota Nusantara (IKN) ini terletak di Borneo yang mana pulau ini terdiri daripada Sabah dan Sarawak iaitu negeri-negeri di bawah Malaysia, negara Brunei dan Kalimantan yang merupakan wilayah di bawah negara Indonesia.

APA YANG MENARIK TENTANG BUKU INI?

Terlaku banyak perkara yang menarik yang saya perolehi bila selesai membaca buku ini. Buku yang terkandung 14 Bab atau 14 Kajian yang merangkumi beberapa kepentingan terhadap perpindahan Ibu Kota pemerintahan Indonesia dari Jakarta ke Nusantara telah dibuat. Bukan sahaja ia melibatkan kepentingan Kerajaan Indonesia tetapi kesan yang bakal diterima oleh Malaysia ataupun lebih jelas lagi Sabah dan Sarawak.

Bukanlah satu perkara yang mudah untuk memindahkan Ibu Kota Indonesia ke Sumatera. Walaupun idea untuk memindahkannya dari kota Jakarta telah dicetuskan sejak zaman pemerintahan Suekarno lagi, tetapi ia hanya berjaya dilaksanakan oleh Bapak Joko Widodo atau Jokowi pada tahun 2019.

APAKAH MATLAMAT PERPINDAHAN IBU KOTA INI?

Matlamat yang paling utama perpindahan IKN adalah bagi mengurangkan beban Jakarta yang sudah terlalu padat dengan penduduk yang menetap di sana dan yang berhijrah dari kawasan kawasan lain ke kawasan yang berpenduduk padat dan sesak. Saya yakin, sesiapa sahaja yang berpeluang untuk ke Ibu Kota Jakarta pasti dapat melihat suasana yang penuh sesak di sana. Keduanya, adalah kerana faktor Jakarta yang sudah semakin tenggelam dek kerana banjir yang melanda. Pernah berlaku banjir yang menenggelamkan 3/4 bandaraya Jakarta sebelum ini yang disebabkan muka buminya yang semakin rendah dan kerana aliran sungainya yang bermasalah. Itu tidak termasuk lagi dengan faktor kesesakan lalu lintas, pencemaran udara dan terdedahnya Jakarta kepada bencana alam.

APAKAH KELEBIHAN IBU KOTA NUSANTARA?

Pertamanya, lokasi yang strategik dan bebas daripada bencana alam utama. Ia adalah Kawasan yang baharu diteroka dan dianggarkan seluas lebih daripada 256,000 hektar dan terletak di tengah-tengah kepulauan Indonesia, yang memudahkan akses kepada pelbagai bahagian negara.

Keduanya, IKN dirancang untuk menjadi 'smart city' yang mengutamakan penggunaan teknologi moden dan prinsip pembangunan mampan. Di IKN adalah diletakkan Kawasan pemerintahan dan pentadbiran Indonesia yang melibatkan pejabat Presiden, pejabat kementerian-kementerian dan institusi-institusi penting yang lain.

Ketiganya, IKN akan memastikan bahawa pembangunan infrastruktur hijau dapat diwujudkan yang menekankan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, pengurangan pencemaran, serta penciptaan lebih banyak ruang hijau.

Keempatnya, IKN dapat mengimbangkan pembangunan Indonesia dengan memberi tumpuan kepada pembangunan luar Pulau Jawa, serta membuka peluang untuk pembangunan ekonomi di kawasan Kalimantan yang Masih lagi kurang padat penduduk.

APAKAH CABARAN YANG DIHADAPI UNTUK PINDAHKAN IBU KOTA INDONESIA?

Banyak masalah yang dihadapi, bukannya mudah untuk memindahkan Ibu Kota ke Nusantara. Tidak semudah semasa ianya diumumkan kerana lebih separuh rakyat Indonesia menyatakan bantahan sejurus selepas Jokowi membuat pengumuman Ibu Kota baharu ini melalui satu kajian yang telah diadakan oleh badan bebas.

Perkara paling utama adalah; apa akan berlaku sekiranya Jakarta bukan lagi Ibu Kota Indonesia selepas ini? Apakah Jakarta tidak lagi akan menjadi tumpuan pemerintah yang sudah tentu akan lebih fokuskan ke IKN. Apakah nasib yang akan diterima oleh para usahawan dan badan korporat yang telah berakar umbi di Jakarta. Begitu juga dengan penduduk di Jakarta, adakah mereka akan turut sama 'berhijrah' ke IKN untuk meneruskan mata pencarian di sana?

Timbul andaian bahawa perpindahan Pusat pemerintahan ke IKN akan mengurangkan penguasaan kaum Jawa dalam penguasaan politik Indonesia. IKN terletak di Sumatera Timur yang mana penduduknya, selain daripada kaum Jawa; kaum Dayak dan Kutai adalah kaum asal yang tinggi jumlah penduduknya di sana.

Indonesia juga dijnagka akan menghadapi kos pembinaan yang tinggi yang mana dianggarkan sekitar Rp 466 trilion ataupun sekitar USD 30-32 bilion. Sudah pasti ia akan menyebabkan Kerajaan Indonesia perlu memastikan bahawa pembiayaan ini akan datang dari beberapa sumber, termasuk belanjawan negara, pelaburan swasta dan pinjaman.

Fasa pembinaan yang panjang juga menjadi cabaran besar kepada Indonesia. Fasa pertama (2022-2024) yang telah dirancangkan adalah pembangunan infrastruktur utama termasuk jalan, jambatan dan kemudahan kerajaan. Fasa kedua bermula pada tahun 2025 sehingga 2035 adalah pembangunan lebih lanjut dalam bidang perumahan, pendidikan, kesihatan dan kemudahan awam lain. Fasa ini juga akan memberi tumpuan kepada pembangunan sistem pengangkutan dan penyediaan infrastruktur untuk kehidupan sehari-hari penduduk. Fasa ketiga pula dirancang bermula pada tahun 2035 bermula dengan pembangunan sepenuhnya dan penyelesaian projek-projek berterusan untuk menjadikan IKN sebagai sebuah kota yang moden dan berdaya saing.

APAKAH KESAN KEPADA SABAH DAN SARAWAK?

Dalam buku ini juga, terdapat Kajian yang telah dibuat untuk mengenalpasti kesan yang akan diterima oleh Sabah dan Sarawak sebagai dua buah negeri yang berada bersebelahan dengan Kalimantan, selain negara Brunei. Sudah pasti, akan ada kesan terhadap kedua-dua negeri, sama ada yang berkaitan dengan ekonomi dan geososial. Pembinaan IKN dilihat akan memberi peluang pekerjaan kepada warga Sabah dan Sarawak dan cabaran utamanya nanti akan menyebabkan semakin ramai penghijrahan orang muda ke luar dari Negeri masing-masing.

Walaupun begitu, dalam masa yang sama, Sabah dan Sarawak perlu mengambil peluang untuk mempertingkatkan kemudahan untuk mengakses perjalanan ke IKN, termasuklah jaringan jalanraya yang selesa dan pantas.

KESIMPULAN DARI PEMBACAAN

IKN sebenarnya akan memberikan satu implikasi besar kepada Malaysia khususnya kepada Sabah dan Sarawak namun jika kesempatan yang ada ini tidak diambil kesempatan dengan sebaiknya, mungkin akan merugikan kita pada masa akan datang.

Kedudukan IKN yang semakin hampir ke Sabah dan Sarawak perlu dilihat dari pelbagai sudut kerana Sabah dan Sarawak jika sudah semakin selesai dengan kerajaan Indonesia boleh memungkinkan Sabah dan Sarawak juga boleh ‘berpindah’ naungannya pada satu masa nanti.

Adalah sangat penting bagi masyarakat di Sabah dan Sarawak untuk memahami dan mengikut perkembangan pembukaan IKN dengan teliti. Adalah sangat perlu supaya mereka mendalami dan menjangkakan apa yang akan berlaku pada masa hadapan di Sabah dan Sarawak apabila IKN mula berpoerasi.

Apa yang penting, semuanya perlu diteliti dengan sebaiknya.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
19 Disember 2024

Kuala Lumpur

Ulasan