Apa akan berlaku pada 2025?
Malaysia secara rasmi mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN adalah antara peristiwa penting yang berlaku pada tahun 2025.
Oleh MEDIA MULIA
1 Januari 2025, 7:07 am
Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025
Malaysia secara rasmi akan mengambil alih jawatan Pengerusi Asean setelah Laos menyerahkan tanggungjawab berkenaan semasa sidang kemuncak badan itu kali ke-44 dan ke-45 di Vientiane pada 11 Oktober lalu.
Lesen platform media sosial.
Bermula hari ini, semua platform media sosial yang beroperasi di dalam negara ini diwajibkan mempunyai Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Penambahan kawasan larangan merokok.
Bermula hari ini, premis dobi dan bangunan tempat kerja tersenarai dalam kawasan larangan merokok susulan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 pada 1 Oktober lalu.
Peniaga wajib buat caruman SKSPS
Penjaja dan peniaga berlesen wajib membuat caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bermula hari ini bagi menyediakan sokongan kewangan sekiranya berlaku bencana kerja.
Inisiatif FLYsiswa dinaikkan
Kadar inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan FLYsiswa dinaikkan daripada RM300 kepada RM400 dan dijangka memanfaatkan kira-kira 60,000 mahasiswa yang menggunakan penerbangan bagi laluan domestik.
KTMB laksana sistem bayaran tanpa tunai
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melaksanakan bayaran tanpa tunai sepenuhnya bagi pembelian tiket di sektor Lembah Klang, Utara dan Selatan serta Pantai Timur untuk menyokong inisiatif ekonomi digital negara.
Semua TASKA wajib papar plak nombor pendaftaran
Bermula hari ini semua Taman Asuhan Kanak-Kanak yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat diwajibkan untuk memaparkan plak nombor pendaftaran di premis masing-masing bagi memberi keyakinan kepada ibu bapa terhadap status mereka.
Kriteria baharu pengecualian audit penyata kewangan untuk syarikat persendirian
Bermula hari ini kriteria baru pengecualian audit penyata kewangan untuk syarikat persendirian berkuat kuasa selaras dengan komitmen Suruhanjaya Syarikat Malaysia meningkatkan kualiti pengauditan dan mengurangkan beban pematuhan yang dihadapi oleh syarikat persendirian.
Tun Musa Aman TYT Sabah baharu
Tun Musa Aman akan mula berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 pada hari ini hingga 31 Disember 2028 bagi menggantikan menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Disember lalu.
BAP diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam
Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam bermula pada sesi persekolahan 2025/2026, ini bermakna bantuan RM150 itu akan memberi manfaat kepada lebih 100,000 pelajar dengan kerajaan menanggung implikasi kewangan kira-kira RM15 juta.
Akta tahanan rumah
Kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu bagi menyelasaikan masalah kesesakan di dalam penjara yang berlaku ketika ini.
LRT3 beroperasi Ogos ini
Projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) melibatkan 20 stesen dengan nilai RM4.7 bilion dijangka beroperasi pada Ogos atau September 2025 dengan melibatkan lima stesen yang bermula dari Bandar Utama dan berakhir di Johan Setia, Selangor.
Penyasaran subsidi RON95
Kerajaan akan melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan ahun ini bagi memastikan negara memperoleh penjimatan sebanyak RM8 bilion kepada kerajaan khususnya selepas golongan T15 tidak lagi menikmati subsidi.
Cukai gula
Kerajaan sebelum ini mengumumkan perang terhadap gula dan bercadang menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa sebanyak 40 sen seliter bermula hari ini.
PLKN 3.0
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Januari ini dengan melibatkan kira-kira 500 peserta di dua kem tentera di Kuala Lumpur dan Pahang sebelum diperluas ke 13 kem di seluruh negara menerusi pelaksanaan penuh pada 2026.
Dasar Gaji Progresif
Dasar Gaji Progresif akan dilaksanakan pada 2025 dengan peruntukan RM200 juta dan bakal memanfaatkan kira kira 50,000 pekerja swasta yang layak. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan