DAP sedang uji, cabar kesabaran umat Islam



DAP sedang uji, cabar kesabaran umat Islam
January 1, 2025

SHAH ALAM: Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin menyifatkan sikap dan kenyataan pimpinan DAP sebagai cubaan menguji kesabaran umat Islam di Malaysia.

Beliau menegaskan, tindakan DAP yang berselindung di sebalik hujah keharmonian kaum sebenarnya menyerlahkan sisi ekstrem mereka.

“Jika umat Islam membuka mata dengan melihat sejarah serta segala tindak-tanduk DAP, maka pasti kita akan sedar bahawa ini bukan sekadar isu politik.

“Tetapi merupakan jarum-jarum halus yang disusun secara berstrategi untuk mencapai cita-cita sekular mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Dewan Negeri Sungai Burong itu turut menegaskan bahawa sudah cukup tindakan dan kenyataan ditunjukkan pimpinan DAP seperti Lim Guan Eng, Nga Kor Ming, dan Hannah Yeoh untuk membuktikan bahayanya kuasa politik apabila berada di tangan parti itu.

“Adakah begitu lemah pemimpin dan umat Islam di Malaysia sehingga DAP dengan sewenangnya boleh mengajar Islam mengikut ideologi mereka?

“Sesungguhnya batasan syarak tidak boleh dilanggar sesuka hati. Umat Islam tidak boleh berdiam diri, kesucian agama serta keharmonian negara ini perlu kita bela,” katanya.

Terdahulu, Lim Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan dalam sidang media menuntut penjelasan daripada Menteri Pendidikan berhubung lawatan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan Taliban.

Nga Kor Ming pula dilaporkan membuat sambutan Krismas secara terbuka di pejabat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang melibatkan penglibatan pegawai Muslim.

Terdahulu, keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini menolak saman fitnah Hannah Yeoh terhadap mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Saman itu berkaitan kenyataan Musa dalam satu forum pada 2020, di mana beliau menyatakan Hannah mempunyai hubungan dengan golongan evangelis dan Yahudi yang berpotensi merosakkan Islam serta kestabilan negara.

Mahkamah mendapati dalam buku tersebut, Yeoh sendiri mengakui peranannya sebagai ‘Ambassador of God’ yang menyebarkan agama Kristian secara halus melalui penglibatan politiknya. – HARAKAHDAILY 1/1/2025

Ulasan