Dunia fana, akhirat tujuan abadi


Dunia fana, akhirat tujuan abadi
January 5, 2025

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah mengingatkan umat Islam mengenai hakikat kehidupan dunia yang sementara dan kepastian hari akhirat yang kekal.

Beliau menyeru umat Islam supaya menyedari bahawa kehidupan ini hanyalah persinggahan sebelum menghadapi hari pembalasan yang pasti berlaku.

Menurut Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan itu, setiap manusia tidak dapat lari daripada kematian, tidak kira bagaimana ia berlaku.

“Tidak kira di mana seseorang itu menemui ajalnya, sama ada dimakan harimau di hutan, dibaham buaya di sungai, atau ditelan ikan di lautan, semuanya akan bangkit pada hari yang telah dijanjikan oleh Allah,” katanya dalam media sosial miliknya.

Beliau menjelaskan bahawa apabila tiba waktunya, sangkakala akan ditiup buat kali pertama untuk mengakhiri kehidupan seluruh makhluk di dunia.

“Tiupan ini adalah penamat bagi dunia yang fana. Namun, dengan tiupan kali kedua, seluruh jiwa akan hidup kembali untuk berdiri di Mahsyar. Di tempat itu, perjalanan baru bermula, di mana setiap insan akan diadili oleh Allah,” jelasnya.

Di Mahsyar, Mohd Amar menegaskan bahawa setiap amal perbuatan manusia akan diperlihatkan melalui kitab catatan dan segala yang dilakukan di dunia akan didedahkan tanpa sebarang kekurangan.

“Keadilan akan ditegakkan dengan sempurna. Mereka yang kufur akan diheret ke neraka Jahannam dalam keadaan yang amat hina, wajah mereka tertiarap dengan penuh kehinaan.

“Sebaliknya, mereka yang beriman akan diiringi ke syurga dengan penuh penghormatan, seperti seorang tetamu mulia yang dipandu menuju tempat yang telah disediakan dengan segala kebaikan,” ujarnya.

Mohd Amar turut mengingatkan bahawa kehidupan di dunia ini adalah kesempatan yang amat penting untuk menentukan nasib seseorang di akhirat.

“Setiap perbuatan dan amal kita akan menentukan bagaimana kesudahan hidup kita di akhirat, sama ada kita memperoleh rahmat Allah atau sebaliknya,” terangnya. – HARAKAHDAILY 5/1/2025

Ulasan