Gabungan NGO desak siasatan terhadap kerajaan
January 7, 2025
Poster dilancarkan oleh gabungan NGO pada sidang media khas NGO berkenaan isu adendum ke atas Dato' Seri Najib Razak di Hotel WP, Jalan Tunku Abdul Rahman, Chow Kit, di sini, hari ini. (FOTO: HARAKAHDAILY/Suffi Kamari)
KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyifatkan semalam adalah hari yang paling gelap kepada institusi Majlis Raja-Raja Melayu berhubung kes rayuan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong oleh bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak.
Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, keputusan mahkamah mengesahkan kewujudan adendum tersebut dengan majoriti 2-1 menunjukkan betapa pentingnya dokumen berkenaan, sebagaimana dinyatakan dalam surat Istana Pahang bertarikh 4 Januari 2025.
“Wujud tanda tanya mengapa Adendum tersebut tidak dapat disah wujud oleh kerajaan sejak 29 Januari 2024 kerana hampir setahun yang telah diserahkan kepada Ketua Peguam Negara oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Lebih parah apabila Menteri Dalam Negeri didapati tidak bercakap benar, berbohong dalam Parlimen dengan menjawab pertanyaan ahli Parlimen sebagai ‘hearsay’ (khabar angin), dan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pula menjawab sebagai subjudis.
“Sedangkan, soalan yang dikemukakan di Parlimen sudah dibenarkan oleh Speaker Dewan Dakyat dengan mengambil faktor subjudis,” katanya dalam sidang media khas badan bukan kerajaan (NGO) berhubung isu Titah Adendum di sebuah hotel di Chow Kit, di sini hari ini.
Turut hadir wakil Pertubuhan Pembela Islam, Zainol Karim; UMMAH Melaka, Hishamuddin Abu Bakar; NGO Ikhlas, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah; Penyelidik Akademi Tamadun Alam Melayu, Zaharah Sulaiman; dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hassan Syed Ali.
Juga, Datuk Mohd Zaid Ibrahim; Setiausaha Agung Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulama (Geng Ustaz), Ahmad Syakir Norazli; dan Pengerusi Gerak Rakyat Hidupkan Amar Maaruf Hancur Aktiviti Maksiat (GERAHAM), Noor Hakimi Ab Halim.
Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia UMMAH, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai; Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gulab Jan Fazal Elad; dan Gabungan NGO Selangor, Mohd Yusof Abdullah.
Mohd Zai berkata, tindakan cuba menyembunyikan dan tidak melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong adalah perbuatan yang didakwa sebagai jenayah, derhaka kepada baginda, Majlis Raja-Raja Melayu dan melanggar sumpah jawatan sebagai menteri dan Perdana Menteri.
“Di mana bukti dan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong? Apakah ada konspirasi yang sedang berlaku dalam kerajaan dan Perdana Menteri dalam perkara ini?
“Siapakah yang lebih berkuasa di antara Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong sehingga membolehkan titah tersebut diabaikan?” persoalnya.
Oleh demikian, beliau bersama gabungan NGO sepakat memohon kepada Majlis Raja-Raja Melayu supaya mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan tindakan khusus kepada Perdana Menteri, Menteri dan Ketua Hakim Negara.
“Kami juga mendesak satu jawatankuasa khas Parlimen ditubuhkan di bawah Raja-raja Melayu bagi mengambil tindakan segera mengenai kedudukan Perdana Menteri.
“Kami sangat menghormati dan menghargai keputusan mahkamah kerana berani membuat keputusan yang bebas bagi menjaga integriti badan kehakiman dan tidak diheret dalam ketelusan perkara ini,” katanya.
Walau bagaimanapun, pihaknya menyatakan kekesalan mendalam terhadap tindakan ahli politik yang didakwa memaksa dan mengheret Istana dalam isu Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata, tindakan tersebut dianggap telah mencemarkan nama baik institusi diraja, mengancam kepercayaan rakyat dan menjejaskan kedudukan Raja-Raja Melayu.
Justeru, beliau menyeru agar semua pihak terutama NGO bersepakat untuk membuat laporan polis serentak di seluruh negara.
“Hal demikian agar pihak yang melakukan jenayah penderhakaan, penyembunyian, penghinaan ini dapat disiasat dan diseret ke muka pengadilan, dan seterusnya jika bersalah dipecat daripada jawatan yang telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan