Himpunan solidariti rentas parti dan kaum
January 6, 2025
Dr. Mohd Zuhdi Marsuki
PUTRAJAYA: Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Dr. Mohd Zuhdi Marsuki, menyifatkan perhimpunan solidariti bagi menyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai suatu isyarat besar yang melangkaui sempadan parti politik dan kaum di Malaysia.
Beliau memuji kehadiran pelbagai penyokong dari Umno, PAS, serta parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MIC, yang bersatu atas dasar perjuangan keadilan untuk Najib.
“Kita lihat keunikan perhimpunan ini, ada baju merah dan baju hijau. Ini menunjukkan gabungan ahli Umno, PAS, serta rakan-rakan komponen BN yang turut hadir. Malah, solidariti ini merentasi politik kepartian dan kaum,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di pintu masuk Istana Kehakiman di sini hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa kehadiran ramai peserta perhimpunan adalah bukti rakyat mahu menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap layanan yang diterima oleh Najib.
‘Reformasi sudah menjadi basi’
Dalam ucapannya, Dr. Zuhdi turut mengkritik tindakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dianggap menyekat kebebasan berhimpun melalui pelbagai halangan seperti sekatan jalan raya di sekitar Putrajaya.
“Dulu, Datuk Seri Najib sendiri menggubal Akta Perhimpunan Aman untuk memberi ruang kepada rakyat bersuara. Namun kini, di bawah kepimpinan Anwar, prinsip kebebasan bersuara ini nampaknya tidak dihormati,” katanya.
Beliau turut kesal dengan tindakan menyekat pergerakan penyokong Najib di perkarangan mahkamah, yang disifatkannya sebagai bertentangan dengan semangat demokrasi.
Suara rakyat tuntut keadilan
Dr. Zuhdi menegaskan bahawa isu yang diketengahkan dalam perhimpunan itu bukan sekadar untuk Najib, tetapi mewakili suara rakyat Malaysia yang mendambakan keadilan dan layanan yang saksama.
“Dokumen rasmi daripada Yang di-Pertuan Agong berhubung titah pengampunan kepada Najib dikatakan sebagai khabar angin. Jika dokumen daripada ketua negara pun dinafikan, bagaimana rakyat biasa mahu mengharapkan keadilan?” soalnya.
Beliau turut menggesa agar pemimpin negara diberikan keadilan sewajarnya, kerana ia mencerminkan bagaimana rakyat bawahan akan dilayan.
Roadshow solidariti
Dr. Zuhdi mencadangkan bahawa jika suara rakyat ini terus dinafikan, tidak mustahil akan ada usaha untuk menganjurkan roadshow bersama antara Umno dan PAS di seluruh negara.
“Perjuangan ini tidak akan berhenti di sini. Ia bukan hanya mengenai Najib, tetapi juga mengenai keadilan untuk semua rakyat Malaysia,” tegasnya.
Perhimpunan pagi ini dihadiri oleh ribuan peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, dengan kehadiran figura politik dari Umno, PAS, dan parti-parti lain yang dilihat memberi sokongan padu terhadap usaha ini. – HARAKAHDAILY 6/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan