Kontroversi dakwah halus buku Becoming Hannah
BUKU ini menarik untuk dibaca tetapi mesti dengan keimanan yang tinggi kerana ia juga banyak memetik ayat-ayat dari kitab Injil. - GAMBAR GERAKBUDAYA
Oleh Mohammad Shahray Zulkifli
6 Januari 2025, 8:00 am
EKORAN kontroversi buku Becoming Hannah: A Personal Journey di mana Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, kalah dalam saman fitnahnya ke atas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, saya tertarik untuk membaca buku ini.
Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi, bagaimanapun telah menolak saman berkenaan dan memerintahkan Hannah selaku plaintif untuk membayar kos RM40,000, selepas mendapati Menteri Belia dan Sukan itu gagal membuktikan kenyataan terbabit secara keseluruhan merujuk kepada beliau dan Musa (defendan) bertanggungjawab atas penerbitannya.
Arziah dalam penghakimannya juga berkata, “Bukti menunjukkan pengakuan oleh Hannah: bahawa dia menyebarkan ajaran Kristian secara halus di Malaysia, bahawa dia kembali sebagai ‘duta Tuhan’, bahawa dia ingin berdakwah melalui jawatan politiknya, dan bahawa bukunya ditujukan untuk semua orang, bukan hanya untuk penganut Kristian.”
Hannah telah menfailkan rayuan terhadap kes tersebut dan menggesa semua pihak untuk menghormati proses kehakiman dan tidak mempolitikkan agamanya dengan menyebarkan mesej dan video berunsur fitnah. Bagaimanapun, nasi telah menjadi bubur kerana isu yang melibatkan agama Islam adalah satu isu yang sensitif yang mana sebanyak 157 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung kandungan buku Hannah ini.
Setelah membaca buku ini, saya dapati Hannah adalah seorang yang kuat pegangan agamanya. Hannah selain mendedikasikan buku ini kepada suami dan anak-anaknya juga mendedikasikan buku ini kepada Tuhan (God) dengan menyatakan seperti berikut: “My God, apart from You, I can do nothing, thank you for perfecting everything that concerns me, I cannot imagine me without you.”
Jelas sekali Hannah sangat tulus dan ikhlas dalam mengabdikan diri kepada tuhannya berdasarkan kenyataan di atas. Kebanyakan perkara yang dilakukan Hannah akan merujuk kepada tuhan dan petikan-petikan dari kitab Injil. Dari pengamatan saya Hannah sangat ‘alim’ terhadap agama yang dianutinya.
Di muka surat 11 bukunya Hannah menyatakan dia hendak menjadi seorang preacher bukan untuk kehidupan tetapi sebagai jalan untuk membalas balik apa yang Tuhan berikan.
Isu preacher ini juga timbul bila Prof. Dr Mohd Tajuddin Rasdi bersungguh-sungguh dalam satu videonya membela Hannah daripada tuduhan bahawa beliau adalah seorang pendakwah/mubaligh Kristian. Tajuddin menyatakan bahawa tidak ada bukti kukuh yang menunjukkan Hannah seorang pendakwah Kristian, kecuali beberapa petikan dalam bukunya. Beliau juga menolak bahawa ungkapan seperti preach dan preacher bermaksud pendakwahan secara langsung.
Kita sewajarnya membezakan preach dan preacher dalam bicara seharian dan preach dan preacher bila merujuk kepada seorang penganut Kristian yang taat seperti Hannah. Menurut kamus dwibahasa Longman (2009) preach membawa maksud berkhutbah, bersyarah atau berdakwah.
Preacher pula diertikan sebagai pendakwah. Kamus Dwibahasa Oxford Fajar (2011) pula mendefinisikan preach sebagai memberikan syarahan agama, berkhutbah, menghuraikan kitab Injil; menasihatkan sesuatu; mengesyorkan sesuatu yang baik. Preacher pula didefinisikan sebagai pengkhutbah.
Meneliti dari makna dua kamus tersebut sambal membaca buku Hannah jelas menunjukkan preach adalah berdakwah dan preacher adalah pendakwah Kristian kerana ini dinyatakan sendiri oleh Hannah di muka surat 11 bukunya. Dia menyatakan keinginannya menjadi seorang preacher. Saya tidak dapat, mentafsirkan preacher itu sebagai seorang pensyarah atau seorang ahli debat kerana jika itu yang dimaksudkan sudah tentu Hannah akan menggunakan perkataan lecturer atau debater dalam bukunya.
Saya sebagai seorang bekas pengamal Undang-Undang Syariah di Brunei Darussalam selama 24 tahun sudah tentu menginginkan agar undang-undang syariah tertegak di bumi Malaysia dan mengharapkan agar bidang kuasa Mahkamah Syariah dapat diperluaskan kepada orang bukan Islam seperti yang berlaku di Brunei Darussalam.
Undang-Undang Keluarga Islam dan Undang-Undang Jenayah Syariah di Brunei terpakai kepada orang bukan Islam. Berlainan keadaannya dengan di Malaysia yang mana undang-undang syariah masih mendapat campur tangan dari Mahkamah Sivil.
Saya percaya sebagai seorang berlatarbelakang undang-undang, sedikit sebanyak Hannah mahu melihat apa yang dicitakan dalam bukunya tercapai. Sama seperti saya yang mahu melihat undang-undang Islam itu berkembang di Malaysia.
Di muka surat 108 Hannah menyatakan
(1) Saya merasakan bahawa politik telah membawa saya dari keinginan sebenar saya iaitu menjadi seorang preacher ( pendakwah).
(2) Jika saya tidak menyahut seruan Tuhan, saya tidak berpeluang untuk berceramah di gereja-gereja, kepada pemimpin-pemimpin dunia dan kepada golongan muda seperti apa yang saya dapat lakukan sekarang.
(3) Tuhan tahu keinginan hati saya untuk berdakwah dan berkhidmat kepadanya, dan Dia menjadikannya satu kenyataan melalui pejabat politik saya.
Ini jelas kenyataan yang menunjukkan bahawa Hannah mempunyai keinginan untuk berdakwah melalui pejabat politiknya. Saya memahami kerisauan yang ditunjukkan oleh Musa bila membaca buku Hannah lebih-lebih lagi beliau adalah seorang Ahli Parlimen yang memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan yang mana Hannah mempunyai akses yang banyak untuk bersama belia dan belia ini termasuklah belia-belia yang beragama Islam. Penyebaran agama lain kepada orang-orang Islam pula adalah dilarang oleh Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan
Apa pun, buku ini menarik untuk dibaca tetapi mesti dengan keimanan yang tinggi kerana ia juga banyak memetik ayat-ayat dari kitab Injil. Dakwah tidak semestinya mengajak atau memaksa masuk agama dia. Buku ini adalah satu dakwah halus dan kalau terpengaruh boleh murtad. – UTUSAN
MOHAMMAD Shahray Zulkifli adalah seorang bekas pengamal undang-undang syariah di Brunei Darussalam selama 24 tahun.
Ulasan
Catat Ulasan