Montaj TMM 2026: Kenapa tiada unsur Islam, Melayu?


Montaj TMM 2026: Kenapa tiada unsur Islam, Melayu?
January 8, 2025

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menzahirkan kebimbangan berkenaan montaj promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) yang bakal ditayangkan di peringkat antarabangsa.

Ketua Penerangannya, Khairul Nadzir Helmi berkata, montaj itu langsung tidak menonjolkan keindahan dan keunikan masjid dalam negara yang mempunyai nilai signifikan kepada Malaysia selain menjadi simbolik kepada Agama Persekutuan.

“Sebaliknya, montaj berkenaan memaparkan suasana tempat ibadat selain Islam dan bangunan peninggalan penjajah.

“Montaj yang langsung tidak mengetengahkan keindahan masjid membina persepsi negatif dalam kalangan rakyat kerana tindakan ini mengulangi isu Georgetown Festival yang menjadi polemik pada tahun lalu,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Oleh demikian, Pemuda PAS mempersoalkan pengulangan kesilapan Georgetown Festival melalui ketiadaan masjid dalam montaj tersebut adalah hasil kesilapan tidak sengaja, atau sebenarnya ia merupakan satu tindakan yang disengajakan atas agenda tertentu.

“Menerusi komen masyarakat Melayu Islam di pelbagai platform, ternyata ramai yang mempersoalkan berkait ketiadaan lambang syiar Islam dan elemen seni bina Islam.

“Selain, unsur seni bina warisan Melayu yang melambangkan budaya dan identiti negara tidak diketengahkan dalam montaj promosi tersebut sehingga menimbulkan kesangsian dan syak wasangka,” katanya.

Justeru, Pemuda PAS menyeru pihak Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan agar memberi penjelasan berkenaan isu itu dan mengambil tindakan segera.

“Selain itu, Pemuda PAS menyarankan agar kerajaan merujuk Jalur Gemilang dan Jata Negara yang terkandung elemen Islam, sekali gus memperihalkan identiti dan Agama Persekutuan negara dalam pembikinan montaj pelancongan peringkat antarabangsa,” katanya.

Terdahulu, klip montaj itu ditayangkan semasa pelancaran rasmi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Sepang pada Isnin lalu telah mengundang kritikan.

Video berdurasi 41 saat itu dimuat naik di Facebook Tourism Malaysia pada 6 Januari, dan antara lain menunjukkan sebuah gereja Kristian dan kuil Hindu di samping mercu tanda lain yang meraikan kepelbagaian kaum.

Bagaimanapun, ramai menyatakan rasa tidak puas hati kerana ia tidak menunjukkan identiti agama majoriti penduduk di Malaysia. – HARAKAHDAILY 8/1/2025

Ulasan