Pejabat Peguam Negara diminta beri penjelasan


Pejabat Peguam Negara diminta beri penjelasan
NAJIB RAZAK
Oleh AIMAN ALI
8 Januari 2025, 6:19 am

PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara perlu menjawab segala persoalan berhubung Titah Adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa disembunyikan daripada Mahkamah Tinggi serta orang awam.

Penganalisis undang-undang dan politik, Datuk Abdul Halim Sidek berkata, ia berikutan salinan surat Titah Adendum yang dipamerkan oleh anak sulung Najib, Datuk Muhammad Nizar dialamatkan kepada jabatan itu.

Katanya, jabatan itu perlu menjawab semua persoalan berbangkit dan bukannya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau tidak tahu mengenai kewujudan surat berkenaan.

“Dari segi aspek perundangan Perdana Menteri tidak tahu kerana ia dialamatkan kepada Jabatan Peguam Negara. Persoalannya, mengapa Titah Adendum itu tidak dipamerkan oleh Peguam Negara,” katanya ketika dihubngi semalam.

Menurutnya, disebabkan titah itu tidak didedahkan, Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan Titah Adendum tidak ada kerana pihak mereka tidak dimaklumkan dan menerimanya.

“Sepatutnya Peguam Negara wajib menghantar surat itu kepada Mahkamah Tinggi kerana ia adalah titah Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara yang menjadi sebahagian dalam Lembaga Pengampunan,” ujarnya.

Mahkamah Rayuan kelmarin memberikan kebenaran kepada Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi membuktikan kewujudan suatu Titah Adendum yang dikatakan membenarkan beliau menjalani baki tempoh penjara bawah tahanan rumah.

Dalam keputusan 2-1, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril menyokong keputusan itu manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel tiga hakim prosiding menentang penghakiman terbabit.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, adalah menjadi satu jenayah kepada mana-mana pihak yang menyembunyikan titah Seri Paduka kerana mengingkari perintah baginda dan sekiranya laporan dibuat, polis perlu menjalankan sisatan.

“Tujuan kita sekarang adalah untuk dapatkan keadilan dan untuk dapatkannya semua bukti perlu didedahkan kepada mahkamah. Jika didedahkan maka ia akan memberikan manfaat kepada Najib. Jika tidak didedahkan, ini bermaksud ada pihak yang tidak mahu beliau dibebaskan,” katanya. – UTUSAN

Ulasan