Penderhakaan besar kepada Yang di-Pertuan Agong


Penderhakaan besar kepada Yang di-Pertuan Agong

Ingkar, sembunyi dan nafi titah
January 6, 2025

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini sebagai bukti jelas terdapat pihak tertentu yang sengaja bertindak menyembunyikan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, tindakan sedemikian adalah pengkhianatan terhadap prinsip berterus-terang (candour principle) yang sepatutnya menjadi pegangan dan tanggungjawab utama kerajaan.

“Adalah tidak mungkin seorang Perdana Menteri tidak mengetahui kewujudan titah tambahan Yang di-Pertuan Agong.

“Dan Perdana Menteri bertanggungjawab sepenuhnya bagi melaksanakan mana-mana titah Yang di-Pertuan Agong termasuklah Titah Adendum,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Larut itu, sebagai Perdana Menteri, beliau terikat dengan ikrar sumpah taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong serta Perlembagaan Persekutuan.

“Sebarang keingkaran, menyembunyi atau menafikan titah Yang di-Pertuan Agong merupakan penderhakaan besar kepada Raja dan Negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/1/2025

Ulasan