![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2025/01/SURI-RUMAH.jpg)
Suri rumah nafi punca kemiskinan
SURI rumah juga membantu ekonomi keluarga dengan usaha sendiri seperti menjahit pakaian. - GAMBAR HIASAN
Oleh ZAHRA MOHAMAD ZHAHIR
6 Januari 2025, 6:50 am
PETALING JAYA: Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR) menafikan dakwaan bahawa wanita yang memilih menjadi suri rumah menjadi penyumbang kepada kadar kemiskinan isi rumah.
Presidennya, Rose Jazimah berkata, dakwaan tersebut bukan sahaja tidak adil tetapi juga meremehkan sumbangan wanita dalam pengurusan ekonomi keluarga.
Beliau berkata, pandangan tersebut kurang holistik kerana suri rumah memainkan peranan penting dalam menjimatkan kos keluarga walaupun tidak menyumbang secara langsung kepada pendapatan isi rumah.
Jelasnya, suri rumah yang bijak menguruskan kewangan, terutamanya yang mempunyai kelayakan akademik dapat mengurangkan perbelanjaan isi rumah lebih-lebih lagi dalam aspek penjagaan anak-anak.
“Kos pusat asuhan kanak-kanak di Lembah Klang sahaja boleh mencecah antara RM600 hingga RM1,200 sebulan bagi seorang anak. Bayangkan keluarga dengan lebih daripada seorang anak, sudah tentulah kos ini menjadi beban besar.
“Selain itu, suri rumah yang memasak, mengurus rumah tangga dan melakukan perbandingan harga sebelum membeli sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan aliran wang keluar keluarga,” katanya dalam kenyataan.
Pada 2 Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan, peningkatan jumlah wanita memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa dikhuatiri menjadi punca kadar kemiskinan isi rumah semakin meningkat dalam negara.
Apabila wanita terutama yang memiliki kelayakan akademik memilih menjadi suri rumah sepenuh masa ia akan menyebabkan pendapatan isi rumah berkurangan dan boleh menjerumuskan keluarga mereka di kancah kemiskinan.
Mengulas lanjut, Rose berkata, keputusan wanita untuk berhenti kerja dan menjadi seorang suri rumah sepatutnya diraikan dan bukan dipandang rendah.
Jelasnya, ia adalah satu pilihan peribadi berdasarkan keperluan dan dinamika keluarga.
“Peranan suri rumah tidak seharusnya dianggap sebagai kelemahan sebaliknya sebagai tulang belakang yang menyokong keharmonian masyarakat.
“Setiap keluarga mempunyai keperluan yang berbeza. Malah, peranan suri rumah adalah elemen penting dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan sejahtera,” katanya.
Rose berkata, tumpuan seharusnya diberikan pada usaha untuk memberikan sokongan yang bersesuaian dalam pemberdayaan suri rumah sekiranya negara berusaha untuk mencapai kesamarataan gender.
“Saya berharap kita semua dapat bersama-sama mencari jalan untuk menyokong dan memperkasa wanita agar dapat membuat pilihan yang terbaik untuk diri dan keluarga mereka, sama ada sebagai suri rumah atau pekerja dalam sektor formal.
“Setiap sumbangan wanita adalah penting dalam membina masa depan negara, dalam kapasiti yang mereka jalankan,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan