![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2025/01/tambah-bas-sekolah-naik-re.jpg)
Tambang bas sekolah naik mulai Februari
KERATAN Utusan Online siaran 16 Disember mengenai hasrat pengusaha bas sekolah mahu menaikkan tambang pada Tahun 2025.
Oleh SABRINA ZULKIFLI
8 Januari 2025, 6:50 am
PETALING JAYA: Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) tetap menaikkan kadar tambang bas sekolah bagi sesi persekolahan 2025 mulai Februari ini.
Kadar kenaikan tambang bas sekolah itu antara RM5 hingga RM10 seorang, bergantung kepada persetujuan bersama antara pengusaha bas dan ibu bapa.
Presiden GPBSM, Mohd. Rofik Mohd. Yusof berkata, keputusan kadar tambang sepenuhnya terletak kepada rundingan dua hala (pengusaha bas dan ibu bapa), tanpa campur tangan kerajaan.MOHD. ROFIK MOHD. YUSOF
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2025/01/Mohd.-Rofik-Mohd.-Yusof.jpg)
“Kenaikan ini adalah berdasarkan persetujuan bersama. Jika ibu bapa tidak bersetuju, mereka boleh mencari pengusaha bas lain sesuai dengan bajet mereka.
“Selalunya kenaikan yang dikenakan adalah antara RM5 hingga RM10 daripada harga asal. Ini adalah kadar yang dianggap munasabah dan boleh diterima oleh kedua-dua pihak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan tambang bas sekolah dijangka meningkat antara RM10 hingga RM20 menjelang sesi persekolahan tahun 2025.
Peningkatan disebabkan kos penyelenggaraan yang semakin tinggi, termasuk kenaikan harga alat ganti serta pelaksanaan kadar gaji minimum baharu.
Bagaimanapun, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, keputusan untuk menaikkan tambang bas sekolah sepatutnya membabitkan perbincangan bersama ibu bapa, pihak sekolah dan PIBG.
Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) pula dilaporkan memberi amaran akan bertindak terhadap persatuan perniagaan yang mengumumkan jangkaan kenaikan harga secara terbuka.
Pengerusi MyCC, Tan Sri Idrus Harun menyifatkan tindakan peniaga itu sebagai usaha mengaburi mata rakyat dan mempromosikan amalan kartel.
Susulan itu, Mohd. Rofik menasihatkan lebih 6,000 pengusaha bas dan van sekolah di negara ini berbincang terlebih dahulu dengan ibu bapa dan penjaga sebelum membuat keputusan menaikkan harga tambang perkhidmatan tersebut.
Mengulas lanjut, Mohd. Rofik berkata, kadar kenaikan maksimum yang dianggap wajar adalah antara RM5 hingga RM10, bergantung kepada rundingan kedua-dua pihak.
Katanya, kos operasi yang semakin meningkat memberikan tekanan kepada pengusaha bas sekolah untuk menaikkan tambang, tetapi mereka juga sedar akan beban kewangan yang dihadapi ibu bapa.
“Kerajaan tidak terlibat dalam menentukan kadar tambang ini. Pengusaha bas dan ibu bapa perlu mencari titik persetujuan yang adil untuk kedua-dua pihak,” katanya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan