Titah Adendum ‘khabar angin’: Kerajaan berbohong
January 6, 2025
KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani digesa menjelaskan kepada rakyat alasan digunakan kerajaan mengenai isu Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 terhadap baki hukuman bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya berkata, sebelum ini, kerajaan menjawab bahawa ia hanya ‘khabar angin’ sekali gus seolah-olah menafikan kewujudan Titah Adendum tersebut.
“Keputusan Mahkamah Rayuan pagi tadi menjelaskan kedudukan sebenar Titah Adendum tersebut. Ia bukan sekadar khabar angin sebagaimana yang didakwa, bahkan suatu yang wujud dan jelas.
“Justeru mengapa kerajaan bukan sahaja bersikap sambil lewa terhadap adendum tersebut, bahkan sanggup berbohong di Parlimen,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Dewan Ulamak PAS Pusat menurutnya, menegaskan bahawa kredibiliti Kerajaan Madani untuk memimpin negara kini semakin terhakis.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, satu sudut mereka akui kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam soal itu, namun satu sudut lagi mereka tidak menjalankan Titah Adendum tersebut sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Mana maruah Kerajaan Madani?” persoal beliau. – HARAKAHDAILY 6/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan