Ultra kiasu gugat agama, perpaduan dan identiti negara
January 1, 2025
KUALA LUMPUR: Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menyuarakan kebimbangan terhadap isu sensitif berkaitan agama, perpaduan dan identiti negara yang semakin tergugat akibat tindakan segelintir pihak yang disifatkan ‘ultra kiasu’.
Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu berkata, ada pihak yang ingin menjadi ‘lebih Kristian daripada Kristian asal’, sehingga sanggup menghina Islam serta mengabaikan prinsip perpaduan sebenar.
“Kebelakangan ini, sejak ‘ultra kiasu’ memerintah, kita sering berhadapan dengan isu-isu sensitif. Mentang-mentang baru mendapat kuasa, mereka sombong, mahu mengajar orang Islam mengenai perpaduan.
“Paling tidak boleh diterima, sanggup mengatakan orang Islam, parti ini dan parti itu sesat. Kamu tahu apa mengenai Islam?” katanya dalam media sosial miliknya.
Beliau menegaskan, sebagai seorang Cina, beliau tetap mempertahankan agama Islam dan menolak tuduhan bahawa beliau mahu menjadi ‘lebih Melayu daripada Melayu’.
“Bangsa tidak boleh diubah, tetapi perangai boleh,” katanya memetik kata-kata Za’ba sambil menekankan bahawa tindakannya adalah demi mempertahankan hak umat Islam di Malaysia.
Mohd Ridhuan turut mengecam tindakan segelintir individu, termasuk wanita yang digelar ‘Duta Tuhan’ didakwa mahu mempromosikan agenda Kristianisasi.
“Bagaimana perempuan ini boleh menjadi ‘Duta Tuhan’? Sudah tanduskah lelaki dalam kalangan mereka?” soal beliau.
Beliau juga mengkritik pendekatan perpaduan melalui sambutan perayaan agama secara bersama yang menurutnya, bertentangan dengan prinsip Islam.
“Adakah perpaduan hanya dicapai melalui sambutan bersama hari perayaan seperti Krismas? Kurang pandai betul pemikiran sebegini,” tegasnya.
“Di Brunei, premis awam tidak dibenarkan digunakan untuk sambutan perayaan agama selain agama rasmi negara. Hak bukan Islam tetap terjamin, tetapi mereka tidak dibiarkan melampaui batas,” seru beliau agar Malaysia mencontohi Brunei.
Dalam konteks sejarah, beliau memuji pendekatan Islam yang meraikan kepelbagaian ketika memerintah negara seperti China dan India, tanpa menafikan hak budaya dan adat mereka.
Namun, beliau menegaskan bahawa apabila kuasa terlepas, umat Islam sering dizalimi seperti di India.
Mohd Ridhuan mengingatkan pemimpin Melayu supaya tidak bersekongkol dengan pihak yang ingin menghakis identiti negara demi kuasa.
“Negara ini semakin hilang identiti. Kejap jadi negara China, kejap jadi negara India, kejap lagi lebih Kristian daripada Kristian,” katanya.
“Jangan sampai mereka ini bermaharajalela. Gunakan kuasa yang ada sebelum terlambat. Sesal kemudian tidak ada gunanya,” kata beliau memberikan peringatan tegas kepada pihak yang berkenaan. – HARAKAHDAILY 1/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan