
Cubaan pembersihan etnik di Palestin
MOHAMAD Hasan dalam sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, semalam.-JABATAN PENERANGAN
Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR, ARIF AIMAN ASROL dan NURUL IRDINA SUMALI
7 Februari 2025, 7:00 am
PETALING JAYA: Tindakan pemindahan atau pengusiran paksa rakyat Palestin dari tanah air mereka merupakan pembersihan etnik yang jelas melanggar prinsip undang-undang antarabangsa serta pelbagai resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sehubungan itu, Malaysia dengan tegas menolak sebarang cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang dilihat menafikan hak Palestin untuk menentukan nasib mereka sendiri.
Usaha itu jelas mencabuli kebebasan rakyat Palestin yang tidak boleh diterima apatah lagi tidak dapat dipertahankan kerana akan memburukan konflik paling berpanjangan di rantau itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, cadangan Trump untuk mengusir rakyat Palestin secara paksa dari tanah air mereka tidak masuk akal sama sekali.
“Malaysia sangat kesal dengan kenyataan tersebut yang jelas melanggar hak asasi manusia, piagam PBB serta undang-undang antarabangsa.
“Kita bertegas bahawa Malaysia menentang dan tidak bersetuju dengan cadangan mengusir rakyat Palestin secara paksa kerana mereka sendiri sudah menyatakan pendirian untuk tidak berganjak dari tanah air mereka,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) memintanya menyatakan bahawa Malaysia akan terus menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menolak sebarang tindakan yang mencabuli hak mereka.
Mengulas lanjut, beliau berkata, langkah tersebut selari dengan pendirian Malaysia dalam mempertahankan hak rakyat Palestin serta memperkukuh solidariti dengan negara-negara Islam lain bagi memastikan keadilan dan keamanan di rantau tersebut terus terpelihara.
“Kita akan terus menggesa komuniti antarabangsa untuk mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran hak rakyat Palestin.
“Malaysia juga bersedia untuk bekerjasama dengan pertubuhan antarabangsa bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan serta diplomatik dalam menangani isu ini,” katanya.
Sementara itu, Wisma Putra dalam kenyataan semalam berkata, penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat merupakan penyelesaian adil dan berkekalan bagi mencapai keamanan serta kestabilan di Timur Tengah.
Katanya, perkara itu berdasarkan sempadan pra-1967 dengan meletakkan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Katanya, masyarakat antarabangsa mesti bersatu dalam menyeru penyelesaian yang adil dan berkekalan yang dihormati serta diterima oleh rakyat Palestin
“Malaysia kekal teguh dalam solidaritinya bersama rakyat Palestin. Satu-satunya jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi mencapai keamanan dan kestabilan di Timur Tengah adalah melalui penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
“Pendekatan ini kekal sebagai pendirian prinsip Malaysia dan sejajar dengan sokongan jangka panjang masyarakat antarabangsa terhadap penyelesaian dua negara.
“Masyarakat antarabangsa mesti bersatu dalam menyeru penyelesaian yang adil dan berkekalan yang dihormati serta diterima oleh rakyat Palestin,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengemukakan cadangan luar biasa agar AS ‘mengambil alih’ Semenanjung Gaza, ketika beliau menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk rundingan penting mengenai gencatan senjata dengan Hamas.
Trump juga menggandakan gesaannya supaya rakyat Palestin keluar dari wilayah yang dilanda perang itu menuju ke negara Asia Barat lain seperti Mesir dan Jordan, walaupun rakyat Palestin dan kedua-dua negara itu sebelum ini menolak mentah-mentah cadangan tersebut.
Menurut Wisma Putra lagi, Malaysia menegaskan semula seruannya seperti yang terkandung dalam Resolusi Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam 2024 yang diterima pakai pada 11 November 2024.-UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan