Jangan api-apikan isu perkauman


Jangan api-apikan isu perkauman

06 Februari 2025 09:20am
Masa membaca: 2 minit

SHAH ALAM - Pas mengingatkan semua parti politik di negara ini agar menghormati hak Melayu bumiputera yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jangan ada pihak cuba mengapi-apikan isu perkauman yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum.

Menurutnya, buat masa ini negara berada dalam keadaan baik dan rakyatnya saling menghormati antara satu sama lain.

“Negara kita telah merdeka hampir 70 tahun dan berjalan dalam aman harmoni. Sampai masa kita bukan lagi mempromosi kaum tetapi menjadi penyelesai masalah dan kesusahan rakyat tanpa melihat dari perspektif kaum.

“Contohnya, isu bebanan kos hidup, kemiskinan serta isu alam sekitar mengatasi isu kaum dan agama,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Oh Tong Keong mengkritik DAP yang sewaktu menjadi pembangkang sangat menentang dasar yang mengutamakan Melayu, tetapi kini berdiam diri dalam Kabinet, tidak berani menentang secara terbuka agenda berkaitan.

Menurut terjemahan artikel berbahasa Cina, OrientalDaily yang dikongsikan pengguna Facebook Rafizah Cian Lin, Tong Keong dilaporkan berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa wawancara baru-baru ini.

Berikutan itu, kenyataan Gerakan itu dibidas pemimpin kerajaan dengan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menuduh Perikatan Nasional (PN) mengamalkan politik perpecahan.




Khairil Nizam

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Ir Khairil Nizam Khirudin memberitahu, tindakan Gerakan tidak mewakili PN.

“PN konsisten bergerak dalam kerangka politik Raja Berperlembagaan Negara.


“Perlembagaan Negara wajib dituruti sebagai asas kontrak sosial. Perpaduan bangsa dipupuk melalui Rukun Negara.

“Itu adalah pelajaran pahit yang kita peroleh melalui peristiwa berdarah 13 Mei 1969,” ujarnya.

Ulasan