
JDT selangkah julang gelaran Liga Super
PEMAIN-pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) meraikan kemenangan menewaskan PDRM FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Ahad lalu. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALi
Oleh FADHILUL IZMEL ISHAK
7 Februari 2025, 7:55 am
PETALING JAYA: Seperti yang diramal Johor Darul Ta’zim (JDT) kini dipisahkan satu perlawanan lagi untuk dinobatkan juara kali ke-11 Liga Super musim 2024/2025.
Kejayaan membenam Polis Diraja Malaysia FC (PDRM) 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, kelmarin membolehkan mereka hanya perlu mencari satu lagi kemenangan apabila menentang Perak FC di laman sendiri untuk dinobatkan sebagai juara musim ini.
Skuad kendalian Hector Bidoglio itu dijadual menentang Perak pada 27 Februari ini dan bukan mahu memperkecilkan kemampuan pasukan bimbingan Yusri Che Lah tetapi rekod pertemuan lalu menjadikan JDT dijangka tidak mempunyai masalah untuk mencipta kemenangan.
JDT kini mengumpul 55 mata manakala pencabar terdekat, Selangor dipisahkan dengan 16 mata di tempat kedua dalam kedudukan Liga Super.
Skuad Harimau Selatan merupakan juara Liga Super 10 kali berturut-turut sejak 2014 berada di kelas tersendiri malah rekod tersebut pastinya sukar untuk diulangi oleh mana-mana pasukan.
Menurut Bidoglio, kemenangan tersebut juga menjadi pembakar semangat bagi mengharungi dua aksi penting Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), pertengahan bulan ini.
JDT akan berdepan kelab Liga Australia, Central Coast Mariners di Stadium Industree Group, Selasa ini sebelum melayan kunjungan kelab Liga Korea, Pohang Steelers di Stadium Sultan Ibrahim pada 18 Februari ini. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan