Kerajaan diminta tangani segera banjir di Tumpat
February 6, 2025
Dato' Mumtaz Md Nawi
KUALA LUMPUR: Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat), menggesa kerajaan mengambil tindakan segera bagi menangani masalah banjir yang telah menjejaskan hampir keseluruhan kawasan Tumpat, Kelantan.
Menurutnya, kelewatan projek tebatan banjir telah memburukkan lagi keadaan, menyebabkan banyak infrastruktur rosak dan menjejaskan kehidupan penduduk setempat.
“Banjir kali ini bukan lagi biasa, yang airnya setakat lutut. Hari ini ia menenggelamkan 80 peratus kawasan Tumpat. Tumpat ada 120 kilometer persegi. Baru-baru ini dekat dengan 170 kilometer persegi, daripada darat, laut, hujan yang turun serentak dan bila berlaku projek-projek tebatan banjir tak disiapkan, ianya menyebabkan hari ini rumah rakyat tenggelam dan musnah.
“Baru-baru ini terdapat 69 rumah rosak, 80 rumah tenggelam ini membabitkan lebih 26,000 orang yang mengalami banjir, di Tumpat sahaja 48 PPS. 45 sekolah digunakan dan tiga sekolah yang patutnya jadi PPS juga tenggelam.
“Baru-baru ini bukan hanya sekolah digunakan sebagai PPS, tempat ibadat seperti Wat Siam dan bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) pun jadi PPS. Kerana apa? Kerana tak siap projek tempatan banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Mumtaz turut membandingkan situasi ini dengan banjir besar 2014 di Kelantan, yang ketika itu mendapat perhatian segera daripada Perdana Menteri.
Namun, kali ini, beliau berkata, walaupun Perdana Menteri berada dalam negara, masih tiada tindakan konkrit diambil.
“Saya sendiri telah melaporkan perkara ini secara langsung kepada Perdana Menteri, tetapi sehingga hari ini saya masih menunggu kehadiran beliau ke Tumpat,” katanya.
Beliau berkata, keadaan ini amat membebankan rakyat, terutama menjelang bulan Ramadan dan Aidilfitri yang tidak lama lagi.
“Saya mohon untuk PMX terus melihat kawasan kami di Tumpat yang mengalami seolah-olah mini tsunami supaya isu yang berkaitan dengan fasiliti yang musnah jalan jambatan, sekolah, rumah yang musnah boleh dilihat sendiri dan tindakan segera boleh dibuat kerana hari ini rakyat kita akan menjalani ibadah puasa tak sampai sebulan dan juga hari raya pun tak sampai dua bulan.
“Jadi ini sangat menyusahkan rakyat dan saya harap perkara ini diambil tindakan segera kerana hari ini Bantuan Wang Ehsan seribu ringgit belum lagi sampai kepada keseluruhan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/2/2025
Ulasan
Catat Ulasan