
Lebih baik bina lapangan terbang baharu di Kulim
Berbanding RM15 bilion untuk LRT dan lapangan terbang di Pulau Pinang
February 7, 2025
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pertama Prasarana Malaysia Bhd, Datuk Ridza Abdoh Salleh mencadangkan supaya Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ditutup dan dipindahkan ke Kulim atas beberapa faktor utama.
Ahli Institut Jurutera Malaysia dan Ahli Lembaga Jurutera Malaysia itu berkata, lapangan terbang itu menjadi salah satu punca kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang, sedangkan penduduk tempatan tidak menggunakannya setiap hari.
Selain itu jelasnya, kapasiti Lapangan Terbang Pulau Pinang yang hanya mampu menampung 6.3 juta penumpang setahun sudah jauh melebihi had, dengan jumlah penumpang mencecah sembilan juta pada 2019.
“Sekatan geografi dan kekurangan ruang menjadikan sebarang rancangan perluasan ibarat berjalan ke tebing dengan mata tertutup. Kerajaan Persekutuan telah meluluskan RM1.5 bilion untuk menaik taraf bangunan terminal.
“(Ia) bagi meningkatkan kapasiti kepada 12 juta penumpang, namun ini hanyalah penyelesaian jangka pendek tanpa visi dan objektif yang jelas,” ujar beliau dalam media sosial peribadinya.
Pengarah Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif AHB Holdings Bhd itu menegaskan bahawa Lapangan Terbang Pulau Pinang bukan sekadar lapangan terbang negeri seperti di Kuching, sebaliknya merupakan pintu masuk antarabangsa bagi wilayah utara.
Katanya, jika dipindahkan ke Kulim, lapangan terbang boleh direka bentuk dengan lebih daripada satu landasan, terminal lebih besar dan moden, serta berpotensi menjana pendapatan lebih tinggi melalui aktiviti seperti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO).
Kapasitinya juga jelas Datuk Ridza, boleh ditingkatkan sehingga 30 juta penumpang kerana pembangunan dilakukan di kawasan hijau.
“Kos pembinaan Lapangan Terbang Kulim hanya RM6 bilion, dan pelaburan ini boleh merangsang ekonomi dalam keadaan pasaran yang suram.
“Daripada membelanjakan RM15 bilion untuk projek LRT Pulau Pinang dan perluasan lapangan terbang, RM6 bilion boleh diperuntukkan untuk Lapangan Terbang Kulim, manakala penjimatan RM8 bilion boleh digunakan untuk projek lain yang memberi pulangan ekonomi lebih baik,” katanya.
Beliau juga berkata, langkah itu akan menyelamatkan Pulau Pinang daripada projek gajah putih seperti Jambatan Kedua Pulau Pinang, sekali gus membolehkan kerajaan negeri menumpukan usaha kepada peningkatan kualiti hidup penduduk.
Menurutnya, projek LRT Pulau Pinang telah diberikan secara terus kepada Gamuda dan rakan kongsi dengan kos RM8.5 bilion.
“Daripada jumlah keseluruhan RM13.5 bilion, RM2 bilion akan digunakan untuk membeli sistem daripada syarikat asing seperti Alstom dan Siemens, manakala hanya RM3 bilion yang tinggal untuk syarikat tempatan bersaing.
“Malangnya, RM4 bilion atau 30 peratus daripada jumlah ini akan mengalir ke ekonomi Bangladesh,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pemindahan Lapangan Terbang Pulau Pinang ke Kulim adalah langkah wajar untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas yang kronik.
“Pembinaan lapangan terbang baharu hanya satu jam dari Pulau Pinang akan memberi manfaat kepada seluruh negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/2/2025
Ulasan
Catat Ulasan