Penduduk Palestin tegaskan tanah air mereka bukan untuk ‘dijual’



Penduduk Palestin tegaskan tanah air mereka bukan untuk ‘dijual’
SEORANG lelaki menjual barangan keperluan di hadapan runtuhan bangunan yang musnah di sepanjang jalan Saftawi di Jabalia di utara Semenanjung Gaza.-AFP
Oleh Wartawan Luar Negara
7 Februari 2025, 8:00 am

GAZA: Penduduk Gaza berikrar tidak akan meninggalkan tanah air mereka walaupun terpaksa tinggal di bawah serpihan runtuhan dan menegaskan wilayah itu bukan aset yang boleh dijual beli.

Mereka turut mengecam rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk mengambil alih Semenanjung Gaza dan menempatkan semula penduduk Palestin di negara lain yang disifatkan tidak masuk akal.

GAZA BUKAN UNTUK DIJUAL

“Trump boleh menyimpan ideanya dengan wang dan kepercayaannya itu. Kami tidak akan ke mana-mana. Kami bukan sebahagian daripada asetnya.

“Jika Trump mahu menyelesaikan konflik ini, beliau harus mengambil orang Israel dan meletakkan mereka di salah satu negeri di AS. Mereka adalah orang asing, bukan orang Palestin. Kami adalah pemilik tanah ini,” kata bapa kepada lima anak, Samir Abu Basel kepada Reuters dari Gaza City.

Trump berkata, beliau membayangkan membina sebuah pusat peranginan yang boleh dikunjungi masyarakat antarabangsa di atas tanah Gaza yang berdepan kemusnahan besar hingga tidak layak didiami manusia selepas pengeboman kejam Israel.

Rakyat Palestin berkata, pengeboman selama lebih 15 bulan masih gagal mengusir mereka dari Gaza dan jelas rancangan Trump itu tidak akan berjaya dilakukan.

“Trump bercakap dengan sangat angkuh. Beliau boleh menguji kami dan tidak lama lagi beliau akan mengetahui fantasinya tidak berkesan dengan kami,” tambah Samer.

Majoriti penduduk Gaza mengakui terpaksa berpindah lebih lima kali apabila pengeboman Israel ke atas kawasan kecil itu semakin sengit dan tentera rejim mula menyasarkan kawasan yang sebelum ini diisytiharkan sebagai zon selamat.

Ramai rakyat Palestin kecewa dengan kenyataan Trump kerana seakan memberi bayangan bantuan muktamad yang akan mereka peroleh adalah penghapusan etnik sepenuhnya di Gaza demi membolehkan peneroka haram mengambil alih kawasan itu.

“Kami tidak akan meninggalkan kawasan kami, kami tidak akan membenarkan Nakba kedua berlaku lagi.

“Kami telah mendidik anak-anak kami dan mengajar mereka supaya terus mempertahankan tanah ini dalam apa jua keadaan sekali pun,” kata ibu kepada enam anak berusia 65 tahun, Um Tamer Jamal.

Tragedi Nakba merujuk kepada pengusiran paksa terhadap kira-kira 750,000 rakyat Palestin dari rumah mereka pada 1948 untuk memberi laluan kepada pendudukan Israel.

“Idea Trump itu langsung tidak boleh diterima. Kami tidak meninggalkan Gaza walaupun berdepan pengeboman dan kelaparan saban hari, jadi bagaimana beliau boleh terlintas untuk mengusir kami?

“Kami tidak akan ke mana-mana,” tegas Um lagi.

Di Khan Yunis, di selatan Semenanjung Gaza, keluarga yang duduk berhampiran runtuhan bangunan yang musnah memberitahu sedang menunggu rumah mereka dibina semula, bukan untuk diusir keluar.

“Anda membantu Israel pada peringkat pertama kemusnahan ini. Oleh itu, anda perlu membina semula untuk kami semasa kami berada di tanah ini. Anda tidak boleh mengatakan kami perlu pergi supaya anda boleh membina semula tanah ini,” kata seorang penduduk, Ahmed Shahin.

BUAT PUSINGAN U

Sementara itu, pentadbiran Trump cuba membuat pusingan U selepas cadangannya untuk mengambil alih Gaza mencetuskan kekecohan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran terhadap pembersihan etnik di wilayah Palestin.

Menghadapi gelombang kritikan daripada rakyat Palestin, kerajaan Arab dan pemimpin dunia, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, sebarang pemindahan penduduk Gaza adalah sementara.

Semalam, Rumah Putih turut mengeluarkan kenyataan memaklumkan tiada komitmen untuk menghantar tentera AS ke Gaza.

Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas Trump mendakwa ‘semua orang akan suka’ dengan pelan yang sudah lama dirancangnya ketika menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Rumah Putih.

Rubio berkata, idea itu tidak bermaksud mencetus permusuhan, menyifatkannya sebagai ‘langkah bermurah hati’ dari AS yang menawarkan untuk membina semula Gaza.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt kemudian berkata, Washington tidak akan membiayai pembinaan semula Gaza selepas lebih 15 bulan perang antara Israel dan Hamas.

“Penglibatan AS tidak bermakna penglibatan di lapangan atau bahawa pembayar cukai AS akan membiayai usaha ini,” kata Leavitt.

Dalam pada itu, ratusan penunjuk perasaan berhimpun di luar Rumah Putih melaungkan slogan amaran kepada Trump bahawa ‘Palestin bukan untuk dijual’.

Beratus-ratus penunjuk perasaan berkumpul di Washington untuk membantah lawatan Netanyahu ke Rumah Putih dan menyeru pentadbiran Trump berhenti membekalkan senjata kepada Israel.

Penunjuk perasaan melaungkan, ‘Bebaskan Palestin’ dan mengecam kekejaman Israel di tengah-tengah kehadiran kawalan keselamatan yang ketat.

Seorang aktivis yang menghadiri protes itu, Michael Schirtzer berkata, rakyat AS sendiri tidak mahu wang cukai mereka digunakan untuk membunuh warga Palestin.

“Rakyat Palestin tidak akan ke mana-mana. Mereka adalah orang Asli di tanah itu. Hanya mentaliti penjajah sahaja yang berani mengatakan mereka akan menggantikan penduduk asal dengan komuniti dari luar,” katanya kepada Al Jazeera.

Ulasan