Ramai pekerja Petronas dijangka diberhentikan

Ramai pekerja Petronas dijangka diberhentikan
DR. ABU SOFIAN YAACOB
Oleh HASIF IDRIS
7 Februari 2025, 8:20 am


PETALING JAYA: Sebahagian pekerja Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) di luar pantai pesisir dijangka diberhentikan susulan Sarawak mengiktiraf dan menerima Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144) sebagai Akta Persekutuan yang menentukan tatakelola dasar dan pengoperasian industri petroleum di Malaysia.

Pakar Ekonomi, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, situasi itu juga secara tidak langsung akan mengurangkan pendapatan bagi pihak Petronas walaupun kerjasama dengan Petroleum Sarawak (Petros) akan memberi manfaat bersama.

“Walaupun Petronas akan kehilangan sedikit pendapatan, kekurangan itu akan dapat ditampung oleh pendapatan daripada aktiviti penggalian telaga-telaga minyak baharu.

“Saya percaya, banyak telaga baharu yang akan diterokai oleh Petronas, bukan sahaja di Sarawak tetapi di luar negara.

“Setakat ini, kerjasama antara Petronas dan Petros akan berterusan untuk tahun-tahun yang akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas persetujuan yang di­capai dalam per­bincangan lima perkara mengenai tuntutan hak Sarawak ke atas sumber minyak dan gas pada 7 Januari lalu, antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg.

Ia diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Parlimen yang memaklumkan Petronas akan menerima peranan Petros sebagai agregator gas di Sarawak dan bersedia bekerjasama di ne­geri Bumi Kenyalang itu.

Sementara itu, Felo Penyelidik, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, penutupan operasi sebahagian Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) memberi kesan besar kepada ekonomi dan tenaga negeri Sarawak.

Dari segi ekonomi, katanya, penutupan itu mengakibatkan kehilangan peluang pekerjaan dan menjejaskan perniagaan yang bergantung kepada industri minyak dan gas.

“Sarawak sebelum ini menjang­kakan manfaat besar daripada SSGP, termasuk pem­bangunan ekonomi yang mampan.

“Namun, dengan penutupan ini, ramai pekerja tempatan dijangka kehilangan sumber pendapatan utama,” katanya.

Beliau berkata, penutupan SSGP turut menimbulkan persoalan mengenai kesinambu­ngan bekalan tenaga di Sarawak.

Jelasnya, kebergantungan kepada keputusan Petronas menunjukkan perlunya kerajaan negeri memperkukuh kawalan terhadap sumber tenaga melalui syarikat milik negeri seperti Petros. – UTUSAN

Ulasan