
Skandal pejabat tanah: Pagar makan tuan
Oleh Ku Amirul Faiz Ku Seman
7 Februari 2025, 8:00 am
“Di bawah sistem Torrens, pendaftaran adalah segalanya.” – Teh Bee lwn. K. Maruthamuthu.
Berdasarkan pendirian mahkamah dalam kes ini, pendaftaran hak milik merupakan satu keperluan untuk merekodkan kepentingan seseorang dalam sesuatu hartanah. Bagi nama pemilik hartanah yang telah didaftarkan, kepentingannya ke atas hartanah tersebut tidak boleh dipertikaikan. Oleh yang demikian, apabila berlakunya pemindahan hak milik tanah secara tidak sah, ia adalah satu perkara serius yang memerlukan tindakan segera.
Beberapa isu kebelakangan ini apabila pemilik tanah melaporkan telah berlaku pindah milik secara tidak sah dan di luar pengetahuan mereka. Inilah yang menimpa keluarga artis Ammar Bahrin. Insiden yang menimpa keluarga tersebut dilaporkan berpunca daripada kesilapan teknikal semasa proses membuat ‘charting’ secara manual ke dalam lembaran lito di unit teknikal pejabat tanah.
Pada pandangan saya, kes yang menimpa keluarga ini bukanlah kes jenayah dan lebih kepada isu kesilapan teknikal. Namun, kejadian yang lebih membimbangkan apabila pada awal tahun ini, polis dilaporkan membuat 17 tangkapan termasuk tujuh orang kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Klang bagi tujuan siasatan berkenaan kes pindah milik tidak sah.
Penahanan ini adalah hasil pembongkaran skandal pindah milik tanah secara tidak sah membabitkan ‘orang dalam’ di sebuah Pejabat Tanah di Selangor berdasarkan laporan oleh seorang penolong pegawai daerah pada November 2024.
Sindiket ini dikatakan memindah milik secara tidak sah tanah seluas 9.4 hektar yang bernilai RM7.1 juta. Namun, memandangkan kes ini masih di peringkat siasatan dan pendakwaan belum lagi dimulakan, ia masih terlalu awal untuk berspekulasi mengenai peranan pegawai-pegawai yang disiasat.
Tiada juga maklumat berkenaan dengan tanah yang dipindah milik dan apakah status pindah milik tersebut? Adakah ia masih dipegang oleh pihak sindiket atau telah dijual kepada pembeli-pembeli berhati suci atau yang disebut bona fide purchaser?
Mekanisme undang-undang yang diperuntukkan di bawah Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56) telah memberikan garis panduan dan tatacara yang jelas untuk melindungi kepentingan pemilik tanah dalam urusan membuat pemindahan, pendaftaran cagaran mahupun pajakan.
Malah menerusi seksyen 340 Akta 56 meletakkan hak yang tidak boleh disangkal kepada mana-mana orang yang telah didaftarkan sebagai pemilik atau mempunyai kepentingan seperti pajakan atau gadaian.
Walau bagaimanapun semestinya hak ini boleh dicabar atas contoh-contoh yang disebut dalam subseksyen 2. Ini menunjukkan betapa pentingnya urusan tanah ditadbir untuk mengelakkan apa-apa kejadian kehilangan kepentingan yang berlaku.
Isu pindah milik yang tidak sah juga dikhuatiri berlaku terhadap tanah-tanah yang berstatus rizab Melayu. Ini adalah sebagaimana yang dilaporkan media apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dan mendakwa seorang bekas kakitangan pejabat tanah yang disyaki menipu sebuah agensi kerajaan negeri sehingga menyebabkan pemecahan lot Tanah Rizab Melayu (TRM) di sebuah kawasan berkeluasan 649.2 hektar di Sitiawan, Perak.
Kes yang melibatkan penukaran status TRM dipercayai tidak hanya berlaku di Perak tetapi juga di beberapa buah negeri lain di Semenanjung Malaysia.
Undang-undang tanah rizab Melayu diperkenalkan untuk melindungi TRM daripada dilupuskan dengan apa cara sekalipun kepada bukan Melayu dan juga untuk menyekat tanah pegangan Melayu daripada dibuat apa-apa urusniaga persendirian di antara Melayu dan bukan Melayu.
Tanah-tanah yang telah diisytiharkan sebagai Rizab Melayu adalah kekal sebagai rizab Melayu. Ia adalah untuk melindungi kepentingan masyarakat Melayu itu sendiri.
Mungkin terdapat pihak yang sinikal terhadap TRM, namun TRM ini bukanlah suatu yang baharu malah telah wujud seawal tahun 1914 apabila Enakmen Rizab Melayu 1913 yang dikuatkuasakan di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NMB) iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Selangor.
Enakmen ini dimansuhkan pada 1933 dan diganti dengan Enakmen Rizab Melayu 1913 (ERM 1913). Pada 1935, ERM disemak semula dan enakmen dirujuk sebagai Enakmen Rizab Melayu (NMB Bab 142), bilamana negeri-negeri Malayu yang lain iaitu Kelantan, Perlis, Kedah, Terengganu dan Johor turut mewujudkan ERM di negeri masing-masing.
Melayu menurut ERM NNM Bab 142 adalah seorang yang berasal dari mana-mana bangsa ‘Melayan’ yang lazim bertutur bahasa Melayu atau mana-mana bahasa ‘Melayan’ dan menganut agama Islam. Justeru, TRM ini adalah sungguh signifikan kerana menjadi sebab utama takrifan bangsa Melayu diwartakan dengan jelas.
Setakat 30 Jun 2023, kerajaan merekodkan TRM adalah seluas 4 juta hektar di 10 negeri. Tanpa kawalan dan pantauan yang lebih ketat, dikhuatiri keluasan ini mungkin akan mengecil tanpa kita ketahui.
Dalam isu pemilikan tanah rizab Melayu, ia tidak hanya melibatkan transaksi hartanah dan wang semata-mata, tetapi melibatkan sejarah bangsa yang dilindungi Perlembagaan Persekutuan.
Lantas selaku anak watan, TRM perlu dipelihara dan dilindungi sebaiknya demi cucu cicit kelak.
Kerajaan dalam memelihara TRM tidak perlu untuk bersifat apologetik sebaliknya ia mesti diperjuangkan.-UTUSAN
PENULIS merupakan pengamal undang-undang, Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).
Ulasan
Catat Ulasan