Adakah DAP hanya perjuangkan kaum Cina sahaja?


Adakah DAP hanya perjuangkan kaum Cina sahaja?
March 26, 2025

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menggesa kerajaan memperkukuh kedudukan sekolah kebangsaan sebagai pilihan utama semua kaum bagi mengukuhkan perpaduan nasional.

Ketua Penerangan PERKASA, Irwan Fahmi Ideris berkata, pihaknya menyokong dasar sekolah satu aliran iaitu sekolah kebangsaan di mana peranannya ialah memperkukuh perpaduan kaum di negara ini.

“Kewujudan sekolah vernakular adalah tembok pemisah dan mengasingkan pelajar mengikut kaum sejak peringkat awal persekolahan menyumbang kepada polarisasi masyarakat.

“Sekiranya setiap kaum mengamalkan bahasa ibunda masing-masing ia boleh melemahkan semangat kebangsaan dan menyebabkan jurang sosial semakin melebar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai membalas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook bahawa urusan pendidikan masyarakat Cina adalah urusan DAP.

Irwan Fahmi turut menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan dan kedudukan bahasa Kebangsaan dalam konteks kenyataan Anthony Loke tersebut.

“Anthony Loke seharusnya merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan iaitu perkara 152 yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan .

“Walaupon Perkara 152 membenarkan penggunaan dan pengajaran bahasa lain, Anthony Loke seharusnya sedar bahawa bahasa Melayu adalah bahasa utama yang tidak boleh di kompromi.

“PERKASA ingin menasihatkan sebarang usaha memperkukuhkan sistem pendidikan yang berteraskan bahasa ibunda tanpa mengutamakan bahasa kebangsaan boleh melemahkan dasar kebangsaan bertujuan menyatukan rakyat majmuk di negara ini.

“Kenyataan Anthony Loke yang mendakwa ini adalah urusan DAP juga boleh mencetuskan perdebatan kerana pendidikan seharusnya tanggungjawab nasional dan bukannya tertakluk kepada mana-mana parti politik di negara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Irwan Fahmi berkata, Anthony Loke sengaja mempolitikkan isu pendidikan nasional dengan membina tembok pemisah antara kaum serta menafikan tanggungjawab nasional.

“Kenyataan itu boleh menimbulkan persepsi bahawa pendidikan di politikkan mengikut kepentingan sesuatu kaum. PERKASA ingin bertanya apakah DAP sebuah parti yang hanya memperjuangkan bangsa Cina?

“Bagaimana dengan kaum-kaum lain yang ada dalam DAP? Apakah dengan kenyataan ini jelas parti DAP ini hanya memperjuangkan bangsa Cina?

“Jelas Perlembagaan parti DAP ini ada menyatakan mahu menjadikan Malaysia ini selaku negara sekular dan mahu menyamakan agama Islam dengan agama yang secara jelas bercanggah perlembagaan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/3/2025

Ulasan