
Econsave tutup premis 1 Syawal, tapi lanjut operasi malam sebelum raya
27 Mac 2025 09:30am
Masa membaca: 2 minit
Semua cawangan pasar raya Econsave di Kelantan akan menutup operasi pada 1 Syawal, namun tempoh perniagaan dilanjutkan sehingga jam 12 tengah malam pada malam sebelum Aidilfitri.
KOTA BHARU - Semua cawangan pasar raya Econsave di Kelantan akan menutup operasi pada 1 Syawal bagi mematuhi arahan kerajaan negeri, namun tempoh perniagaan dilanjutkan sehingga jam 12 tengah malam pada malam sebelum Aidilfitri bagi memberi peluang pengguna membuat persiapan akhir.
Pengurus Besar Econsave Bahagian Cawangan Pantai Timur, Toh Sharin berkata, pihaknya menghormati keputusan tersebut dan akan memberikan kerjasama penuh.
“Kami ikut arahan tutup sepenuhnya pada hari raya pertama.
“Ini juga satu langkah yang baik kerana memberi peluang kepada pekerja kami yang majoritinya Islam untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, di Kelantan perkara itu bukan isu kerana masyarakat sudah biasa dengan premis perniagaan ditutup pada 1 Syawal.
“Kita sambut baik tujuan arahan ini, malah hubungan dalam kalangan pekerja juga lebih erat kerana masing-masing boleh fokus kepada sambutan raya dan meluangkan masa bersama keluarga,” ujarnya.

Lonjakan pelanggan pada malam raya menyebabkan Econsave perlu melanjutkan waktu operasi bagi memastikan keperluan mereka dapat dipenuhi.
Bagaimanapun katanya, lonjakan pelanggan pada malam raya menyebabkan Econsave perlu melanjutkan waktu operasi bagi memastikan keperluan mereka dapat dipenuhi.
“Malam raya, operasi dilanjutkan sehingga 12 tengah malam atau sehingga habis pelanggan yang datang dalam jumlah yang ramai untuk membuat pembelian akhir.
“Cawangan di Pasir Puteh paling ketara, situasi menjadi sukar dikawal kerana ramai pelanggan berpusu-pusu hingga saat terakhir,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu sudah menjadi kebiasaan dan kakitangan faham keperluan pelanggan yang mahu mendapatkan barang keperluan sebelum premis ditutup untuk tempoh sehari.
“Pekerja terutama juruwang sudah biasa dengan situasi ini, mereka faham pelanggan akan beli barang sampai saat akhir.
“Biasanya jam 10.45 malam keadaan paling sibuk kerana pelanggan betul-betul membuat pembelian sebelum berhari raya esoknya,” kata beliau.
Ulasan
Catat Ulasan