‘Ingat parti tuan telah sedia berkubur tanpa nisan’


‘Ingat parti tuan telah sedia berkubur tanpa nisan’
March 27, 2025

KUALA TERENGGANU: Penolong Setiausaha PAS Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim menasihatkan para pemimpin politik agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan isu royalti minyak di negeri itu.

Menurutnya, meskipun sesetengah negeri tidak mempunyai hasil minyak, pemimpin parti lain harus lebih peka terhadap sentimen rakyat Terengganu, termasuk penyokong parti mereka sendiri.

“Majoriti rakyat Terengganu faham bahawa royalti minyak adalah hak negeri ini dan mereka ingin supaya ianya disalurkan kembali mengikut perjanjian asal Akta Petroleum 1974,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya.

Beliau berkata, sebarang tindakan memperlekehkan hak Terengganu dalam isu tersebut boleh menjejaskan sokongan rakyat terhadap parti terbabit.

“Tindakan tuan-tuan memperlekehkan dan merendah-rendahkan hak Terengganu akan memberikan impak terjejasnya sokongan rakyat kepada parti tuan yang telah sedia berkubur tanpa nisan di negeri ini,” katanya.

Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan, dan Komoditi Negeri mengingatkan agar pemimpin politik tidak bertindak mengikut emosi semata-mata.

Sebaliknya nasihat beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, perlu membuat pertimbangan yang lebih rasional dalam menangani isu berkenaan.

“Ikut emosi memang tuan-tuan bersemangat nak kata Kerajaan Terengganu gagal dan Kerajaan Madani berbudi tinggi. Tapi cuba renung dan fikirkan baik-baik nasihat saya,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/3/2025

Ulasan