Kuala Lumpur harus kekal identiti wajah Malaysia


Kuala Lumpur harus kekal identiti wajah Malaysia

Penduduk asal adalah tuan tanah, sepatutnya mereka kaya-raya
March 27, 2025


KUALA LUMPUR: Usaha ke arah membina kualiti kehidupan dan tempat tinggal yang lebih baik serta sejahtera untuk rakyat sebenarnya boleh dilaksanakan oleh kerajaan dengan bidang kuasa sedia ada pada hari ini.

Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ia tidak semestinya dengan jalan pembaharuan semula atau dengan mengadakan pembinaan bangunan-bangunan.

Menurut beliau, terutamanya Kuala Lumpur sebagai Ibu Negara, ia mesti menonjolkan identiti Malaysia itu sendiri kepada orang luar iaitu dengan dilihat mempunyai pelbagai kaum yang merupakan warganegara ini.

Bagaimanapun katanya, proses pembaharuan semula bandar yang mahu dilakukan kerajaan kini dilihat tidak mempunyai jaminan secukupnya untuk dilaksanakan secara pengekalan kepada struktur demografi rakyat Malaysia.

“Walaupun kerajaan mungkin menyatakan bahawa pembinaan yang akan dibuat akan memperuntukkan kuota tertentu untuk Bumiputera, tetapi apa yang terjadi sebelum ini setiap kali pembangunan dilaksanakan, ia berakhir dengan kuota-kuota Bumiputera itu tidak terbeli.

“Bahawa Melayu yang miskin tidak ada kemampuan untuk membeli. Lebih-lebih lagi bila disebut pembangunan mahu dilaksanakan ini di Kuala Lumpur. Kita lihat sekarang, satu atau dua juta penduduk asal yang berada di dalam kawasan bandar ini bukan semata-mata penyewa.

“Mereka adalah tuan tanah. Apabila kita sebut sebagai tuan tanah, sepatutnya apabila nilai hartanah naik, merekalah yang menjadi kaya-raya. Tetapi apa yang berlaku sekarang sepertimana kes di Kampung Sungai Baru, proses yang berlaku ini akan menyebabkan mereka menjadi merempat.

“Sedangkan sekarang ini mereka adalah merupakan ‘somebody’ di dalam kawasan yang diduduki sekarang. Dia pergi ke mana-mana kejiranan semua kenal. Ini orang asal, orang lama dan sebagainya. Tetapi apabila dibangunkan dan mereka dibayar pada harga yang murah,” ujarnya.

Beliau mengemukakan demikian dalam sesi percambahan pandangan mengenai Rang Undang-undang (RUU) Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Pembangkang, Dato’ Zainuddin Hamzah.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu setuju dengan pandangan Tun Dr Mahathir yang menyatakan jika tanah di kawasan berhampiran itu dinilai sehingga RM7,000 sekaki, maka tanah Kampung Sungai Baru di situ juga sewajarnya pada harga RM3,000 sekaki.

Sebaliknya kata beliau, tawaran hanya RM400 sekaki dan ditekan pula oleh sindiket tertentu, jelas menunjukkan telah berlaku kezaliman serta cubaan merampas tanah orang Melayu yang merupakan penduduk asal di situ.

“Jadi sepatutnya apa-apa pun pembangunan yang dibuat mesti pemilik asal tanah inilah rakan kongsi yang utama. Tak ada tanah mereka tak boleh buat. Sepatutnya ia berakhir dengan keadaan pemilik asallah yang menjadi kaya-raya. Jadi ini perlu diperhatikan.

“Selalu kerajaan menunjukkan contoh terhadap keperluan kepada pembaharuan semula bandar dengan merujuk contoh-contoh seperti Singapura, Hong Kong, Taiwan. Tapi ini adalah negara-negara yang tak cukup tanah. Negara kita masih banyak tanah.

“Mengapa mahu dipadatkan lagi? Sedangkan pembangunan sepertimana yang disebut tadi kita boleh mengekalkan identiti kita dan kita ada contoh di dalam negara kita. Kampung Morten di Melaka. Ia menjadi satu tarikan,” hujahnya.

Kerajaan cadang beliau, perlu mengeluarkan sedikit bajet untuk orang yang datang daripada luar dan mahu melihat identiti Malaysia, serta dalam masa sama diberi ruang kepada pemilik-pemilik asal supaya mereka boleh melakukan kegiatan ekonomi dan menjadi kaya.

Antaranya kemuka beliau, dengan penduduk asal menjadi usahawan seperti membuka restoran dan lain-lain yang mempunyai daya tarikan, bukannya memindahkan mereka keluar atau menambahkan lagi kesesakan di dalam Bandar Raya Kuala Lumpur.

Ahmad Amzad mengimbau pada satu ketika dahulu negara memindahkan pusat pentadbiran dengan mewujudkan Putrajaya, sekali gus membolehkan kerajaan membangun dan memindahkan aspek-aspek tertentu ke situ.

Jelasnya, ia sebagaimana Wawasan Kemakmuran Bersama pernah digagaskan Tun Mahathir supaya negara boleh mengseimbangkan pembangunan ekonomi bersama negeri-negeri yang lain.

“Berhubung soal ketidakmampuan orang Melayu untuk membeli kuota Melayu ataupun mempertahankan Tanah-tanah Rizab Melayu, saya rasa sudah tiba masanya kita memikirkan satu entiti yang didanai secukupnya.

“Supaya boleh memegang dahulu sebelum dilepaskan kepada pembeli daripada kuota yang berkenaan. Saya ingat kalau dulu di Terengganu dia ada Tabung Warisan yang mengambil peratus tertentu daripada royalti petroleum,” ujarnya.

Beliau mencadangkan misalnya diambil satu peratus royalti petroleum daripada bahagian Persekutuan untuk dimasukkan ke dalam tabung pembangunan orang Melayu dan Bumiputera sama ada dalam bentuk aset atau bantuan usahawan.

Untuk rekod, perjanjian di antara kerajaan negeri dengan PETRONAS berdasarkan Akta Pembangunan Petroleum 1975 menetapkan pemberian royalti sebanyak masing-masing lima peratus setahun kepada kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 27/3/2025

Ulasan