Laluan semakin sesak, perantau mula bergerak kembali ke Kelantan


Laluan semakin sesak, perantau mula bergerak kembali ke Kelantan
Oleh Paya Linda Yahya - Mac 27, 2025 @ 2:02pm

Kenderaan mula bertali arus menuju ke Kelantan menerusi Gua Musang mulai pagi ini. NSTP/PAYA LINDA YAHYA

GUA MUSANG: Laluan menuju ke Kelantan menerusi daerah ini mula dibanjiri kenderaan perantau yang kembali ke pangkuan keluarga masing-masing menjelang sambutan Aidilfitri ini.

Tinjauan mendapati, Jalan utama Gua Musang-Kuala Lipis melalui bandar ini sudah sesak dengan kenderaan.

Perantau, Mohd Iskandar Ibrahim, 43, berkata beliau bertolak awal dari Kuala Lumpur untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Katanya, dia bersama keluarga dalam perjalanan pulang ke Machang untuk menyambut Aidilfitri di kampung halamannya.

"Alhamdulillah...perjalanan kami lancar walaupun terdapat banyak kenderaan namun masih boleh bergerak perlahan.

"Saya bertolak dari Kuala Lumpur kira-kira jam 7.30 pagi. Saya jangka lebih ramai akan bergerak pulang ke kampung halaman sebelah petang ini kerana hari ini masih hari bekerja," katanya ketika ditemui di Hentian Gua Musang, kira-kira jam 12 tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, mengakui berlaku pertambahan kenderaan ke Kelantan melalui daerah ini bermula pagi tadi.

Katanya, pihaknya sudah menjangkakan akan berlaku pertambahan kenderaan bermula hari ini dan sudah bersiap sedia untuk situasi ini.

"Anggota kami sudah bersedia sedia bagi membantu kelancaran trafik kerana situasi ini sudah dijangka.

"Pengguna jalan raya diminta berhati-hati ketika memandu, amalkan sikap bertolak ansur ketika di atas jalan raya," katanya.

Baru-baru ini, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah, dilaporkan berkata, kira-kira dua juta kenderaan dijangka memasuki negeri itu sempena Aidilfitri.

Beliau berkata, lonjakan trafik itu membabitkan laluan tiga pintu masuk utama melalui Pasir Puteh, Gua Musang dan Jeli, dengan kesesakan dijangka memuncak mulai esok.

"Ini adalah trend biasa setiap tahun menjelang Aidilfitri dan kami menjangkakan trafik sesak di semua laluan utama bermula 28 Mac," katanya.

Bagi menguruskan keadaan itu, JPJ itu akan menempatkan 187 pegawai dan anggota penguatkuasa sebagai sebahagian daripada Op Hari Raya Aidilfitri bagi memantau aliran trafik dan memastikan keselamatan jalan raya.

Ulasan