Perjuangan PAS pernah disindir, kini perintah 4 negeri


Perjuangan PAS pernah disindir, kini perintah 4 negeri
March 24, 2025

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah menegaskan bahawa perjuangan Islam tidak akan terhenti, meskipun cabaran yang dihadapi semakin besar.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Kelantan itu berkata, satu ketika dahulu, Timbalan Perdana Menteri pernah bertanya dengan nada sindiran mengenai perjuangan PAS dalam membentuk kerajaan.

“Katanya, takut nanti menjadi seperti pungguk merindukan bulan. Ucapan itu disambut dengan gelak ketawa dalam Parlimen pada tahun 1991,” katanya dalam media sosial miliknya.

Bagaimanapun, beliau berkata, keadaan kini telah berubah apabila Islam berjaya memerintah empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis.

“Jika Allah menghendaki, tidak mustahil suatu hari nanti Islam akan mentadbir Malaysia sepenuhnya. Kemenangan dan kekalahan bukan ukuran mutlak, tetapi usaha untuk memastikan Islam terus subur, itulah yang lebih utama,” katanya.

Iktibar perjuangan perang Badar

Menurutnya, perjalanan menuju kemenangan bukanlah sesuatu yang mudah, sebagaimana yang dialami oleh umat Islam ketika Perang Badar.

“Mereka menempuh jarak sekitar 130 kilometer ke barat daya Madinah, berjalan kaki dan bergilir menaiki unta. Hanya ada 70 ekor unta untuk dikongsi bersama serta dua ekor kuda yang tersedia,” katanya.

Katanya, dengan jumlah seramai 313 orang, pasukan Islam ketika itu membawa apa sahaja yang ada dan mampu, berbeza dengan tentera moden yang lengkap dengan kelengkapan perang.

“Mereka bukanlah tentera profesional. Mereka adalah hamba Allah yang menyahut seruan jihad, meninggalkan rumah dan keluarga, tanpa kepastian sama ada akan kembali atau gugur sebagai syuhada,” katanya.

Tambahnya, perjuangan Islam tidak pernah mudah dan tiada kemenangan yang datang tanpa ujian serta kesabaran.

“Lihatlah usaha menegakkan Islam dalam sebuah negara, seperti Malaysia ini. Puluhan tahun berlalu, ramai pejuang yang telah pergi sebelum sempat melihat hasilnya. Kita juga semakin berusia, dan persoalan yang sering berlegar, adakah kita akan sempat melihat Islam benar-benar memerintah?” katanya.

Beliau berkata, dalam Perang Badar, pasukan Islam yang kecil berhadapan dengan 1,000 orang musuh dengan nisbah satu lawan tiga, menunjukkan betapa beratnya ujian tersebut.

“Mereka kekurangan kelengkapan, sedangkan musuh bukan sahaja lengkap bersenjata, malah membawa pasukan semboyan untuk mengobarkan semangat perang,” katanya.

Namun, katanya, kemenangan tidak diukur pada jumlah atau kekuatan fizikal semata-mata, tetapi pada keimanan dan pertolongan Allah.

“Dalam pertempuran itu, hanya 14 orang Muslim yang gugur, sedangkan musuh mengalami kekalahan besar. Pemimpin-pemimpin utama Quraisy yang lantang menentang Islam, termasuk Abu Jahal, binasa di medan perang,” katanya.

Menurutnya, Rasulullah SAW mendekati mayat-mayat pemimpin Quraisy yang tewas dan bersabda, “Wahai Abu Jahal bin Hisyam, wahai Umayyah bin Khalaf, wahai Utbah bin Rabi’ah, wahai Syaibah bin Rabi’ah, bukankah kamu telah menemui kebenaran janji Rabb kamu? Sesungguhnya aku telah menemui kebenaran janji Rabbku yang dijanjikan padaku.”

Katanya, para Sahabat kehairanan lalu bertanya, “Ya Rasulullah, adakah mereka mendengar?” dan Rasulullah SAW menjawab, “Mereka mendengar, tetapi mereka tidak dapat menjawab.”

Beliau berkata, Allah berfirman dalam Al-Quran bahawa pertolongan-Nya turun di Badar pada saat umat Islam berada dalam keadaan lemah.

“Kejayaan Islam bukan bergantung pada keupayaan manusia semata-mata, tetapi pada keikhlasan dan keteguhan dalam perjuangan,” katanya.

Perjuangan Islam tidak akan terhenti

Beliau berkata, ramai yang bertanya, bilakah Islam akan menang dan bilakah keadilan Islam akan tertegak sepenuhnya.

“Persoalan ini sering diulang, dan dalam sejarah, orang-orang yang memperjuangkan Islam sering dipandang kecil dan diperlekehkan,” katanya.

Katanya, nilai seorang Muslim bukan sekadar terletak pada ibadah peribadi seperti solat, puasa, umrah, dan haji, kerana semua itu adalah kewajipan asas.

“Tetapi keistimewaan umat Islam ialah tanggungjawab mereka dalam amar makruf nahi mungkar, menegakkan keadilan, serta memimpin umat ke arah kebenaran,” katanya.

Beliau berkata, Rasulullah SAW sendiri memimpin 17 peperangan, termasuk Badar, Uhud, dan Khandak, manakala lebih 50 yang lain berlaku tanpa penyertaan baginda.

Dalam pada itu, katanya, cabaran dalam ibadah juga wujud, terutama dalam bulan Ramadan.

“Lihat sahaja cabaran solat tarawih di bulan Ramadan. Bukan sesuatu yang mudah. Semakin dekat dengan penghujung bulan, semakin berkurang jumlah jemaah,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan umat Islam agar mengambil peluang untuk beribadah kerana belum tentu dapat bertemu Ramadan akan datang.

“Sedikit perkongsian ini disampaikan selepas tarawih malam tadi di Masjid ‘Ahd Al-‘Akifin, tidak jauh dari rumah. Terima kasih di atas jemputan,” katanya.

Beliau berkata, semoga segala usaha dalam menegakkan agama ini diberkati, meskipun mungkin tidak sempat melihat hasilnya.

“Tetapi yakinlah, generasi selepas kita akan meneruskan perjuangan ini dengan izin Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/3/2025

Ulasan